Skip to content

Nak jadi ahli syurga?

October 7, 2013

Nak jadi ahli syurga..

Tak cukup dgn angan-angan
Kalau takat ambil ringan
Mungkin payah nak kesampaian
Kita selalu tersesat jalan
Kalau melangkah tiada pedoman

Nak jadi ahli syurga..

Firman Allah silakan teliti
Manusia Muttaqin punya ciri-ciri
Perlu Lillahi Taala ikhlaskan hati
Sempurna amalnya, merendah diri
Dalam senang dan susah, setia berbudi
Menahan amarah, sedia memaafi

Nak jadi ahli syurga..

Aku tahu siapa diriku
Apa dosaku, sejarah silamku
Hati yang hitam seperti batu
Tapi Allah masih memberi waktu
Untuk taubat masih terbuka pintu

Nak jadi ahli syurga..

Tiket syurga tak jual murah di tepi jalan
Siapa nak beli sila angkat tangan
Bayar dgn mujahadah,kesungguhan dan pengorbanan
Semua semata-mata demi keimanan

Nak jadi ahli syurga..

Doa kita penuh cemas dan pengharapan
Moga Allah sudi mengurniakan
Kasih-sayang, belas kasihan dan pengampunan
NikmatNya yang terhebat tiada pengakhiran

a beautiful moment on a beautiful night

August 5, 2013

Hari ini 27 Syawal. Cepat masa berlalu. Things are back to normal.

traffic in the rainNamun saya masih ingat dengan jelas suasana malam 27 Ramadhan. Sungguh pun hujan selebat-lebatnya, berduyun-duyun manusia hadir memenuhi segenap ruang masjid di Islamic Cultural Centre Ireland, Clonskeagh, Dublin. Pastinya ada satu tarikan yang kuat serta dorongan yang teguh bagi jiwa-jiwa ini untuk turun bersama-sama angkatan saff masjid, seperti mana yang saya juga rasakan. Berjalan atau bertongkat, hatta yang berkerusi roda sekalipun, Allah telah menyuntik keinginan yang tetap dan merezekikan untuk sampai menjadi tetamuNya malam itu. Alhamdulillah!

.

Jadi apalah sangat hujan lebat, jalan lecak, traffic jam, takde parking, terpaksa jalan berasak-asak, atau jam yang sudah lewat mencecah 11.30, hampir menjelang tengah malam, ketika imam baru hendak memulakan terawih – semua itu tidak jadi penghalang bagi para ahli jamaah masjid malam itu. Puasa selama 19 jam sehari sepanjang Ramadhan di Ireland ini tidak melemahkan semangat, sebaliknya mengobarkan semangat untuk dekat dengan Allah, inshaAllah.

Apabila kita merasakan matlamat kita besar, maka apa cabaran yang hadir akan tampak kecil saja. Namun jika dari awal lagi iradah (kemahuan) kita tidak kuat, matlamat kita tidak terasa penting, maka segala cabaran akan kelihatan besar dan payah. Cuit sedikit sahaja, pantaslah melatah berundur.

.

Malam itu di masjid, tiada bicara tentang perbezaan negara, bangsa, bahasa, warna kulit, budaya; semuanya telah lebur dalam kekhusyukan perhambaan kepada Maha Pencipta di dalam kesatuan saff yang tersusun. Pemandangannya terlalu mempesonakan! Itu sahaja pun sudah cukup untuk membunuh keangkuhan sesiapa pun yang terpengaruh dalam kemelut nasionalisme kebangsaan dan perkauman. Ini ubatnya Islam sediakan.
“The slightest feeling that one race is better than another is absolute ignorance of the basics. No justification at all in this regard.” ~ Mufti Menk Ismail.

.

Saya yakin, bagi ahli jamaah masjid, InshaAllah masing-masing hadir dengan nawaitu dan pengharapan setinggi langit untuk memohon kurnia rahmah, keampunan dan keredhaan Yang Maha Esa pada malam penuh barakah. Sujud-sujud terasa memerdekakan jiwa, merawat hati yang luka apabila semua pergantungan dibulatkan dan diletakkan kepada tempatnya, iaitu Allah yang bisa menyelesaikan segalanya dengan hanya “Kun Fayakun!”.

36_82

“Sesungguhnya kekuasaan Allah, apabila ia mengkehendaki adanya sesuatu, hanyalah berfirman ‘Jadilah!’ maka ia terus menjadi.” (Surah Yasin : ayat 82)

Janganlah kita tanya bila kemenangan akan tiba, bila kejayaan akan sampai, bila kurniaan Allah akan turun – kerana itu semua hanyalah perkara “Kun Fayakun!” bagi Allah. Tapi tanyalah tentang usaha kita, amal kita, kegigihan kita, tawakal kita, doa kita. Syeikh Yusuf Qadhi menyebutkan;
“If you want something, but you have not wake up for tahajud in the middle of the night making Doa for it, then in reality… you don’t really want it!”

.

qiyamUsai terawih, dalam solat witir, imam membacakan doa qunut yg sangat panjang, 20 minit lamanya… hingga bercucuran airmata anggota jamaah masjid kesemuanya ketika bergema menyebut Ameen. Ameen. Ameen.  Berdoa seperti yang bukan rutin, tapi dihadirkan bersamanya jiwa dan hati, pengharapan dan kecemasan, lantas diameenkan oleh para soleh & solehah. Sungguh terkesan dan syahdunya tidak dapat saya lupakan.

Tidak ada moment yang lebih indah daripada itu!

Sesungguhnya…
Betapa banyaknya permintaan kita kepada Allah.
Betapa besarnya hajat kita kepada Allah.
Betapa tingginya pengharapan kita kepada Allah.
Betapa hebatnya pergantungan kita kepada Allah.
Menyedarkan kita…
Betapa perlunya kita kepada Tuhan.

Sesungguhnya Allah Yang Maha Kaya, Maha Mengetahui, Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana
juga adalah
Maha Mendengar, Maha Pengampun, Maha Mengurnia, Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Allahussomad!

.

“Apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentangKu, maka (beritahulah) sesungguhnya Aku adalah dekat, Aku perkenankan doa orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu, dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka selalu mendapat petunjuk (berada dalam kebenaran).” (Surah al-Baqarah : ayat 186)

.

berkongsi rasa indahnya berdoa, nikmatnya bertuhan,
ar-rumaisa
Waterford

Simpulan

November 10, 2012
knot

Astaghfirullah al-adzim.
Sudah keliru rasanya,air mata ini mengalir untuk apa.. Adakah kerana ujian kecil yang Allah hadirkan dalam hidup ini barang sebentar? Ataukah ia airmata penyesalan terhadap mudahnya diri ini memohon alasan untuk ‘excuse’ dari tugasan dakwah yg diamanahkan ketika ini?

.

Teruslah debat itu berpanjangan sendiri. Yang pasti,kedua-dua perkara itu sangat mencalarkan hati.Manifesto bahawa diri ini lemah, tidak cukup kuat, lantas tunduk kepada perasaan dan tidak tahan hanya dengan ujian kecil serta keinginan yang manusiawi. Tapi manusia bukan robot kan? Namun jauh di sudut hati, tetap merasakan sudah pun meringan-ringankan amanah, bermudah-mudah.

.

Lebih teruk lagi,walaupun menyedari hal ini, masih juga gagal mencari kekuatan menunaikan amanah dakwah yang diberikan dan telah pun memilih untuk ‘rehat’ sejenak. Barangkali Allah yang tidak menyukai kehadiran diri ini di tempat orang-orang soleh itu, dan ujian kecil itulah yang menjadi tapisan buat kali ini. Tekad tidak cukup kuat. Niat tidak cukup ikhlas. Hati tidak cukup bersih. Titisan itu jatuh lagi.

.

Tersentuh dengan ucapan Allahyarham akh Yusuf Tala’at kepada Allahyarham Ustaz Hasan al-Hudhaibi:

“Sesungguhnya kami mengetahui kesusahan apa yang Ustaz tanggungi. Tetapi dakwah lebih mulia di sisi kami dan di sisi Ustaz juga. Mana mungkin kita biarkan dakwah tanpa qiyadah? Sesungguhnya kami telah sepakat memilih Ustaz sebagai pemimpinnya. Andainya kami telah sepakat untuk membelanya, maka Ustaz juga mestilah bersedia untuk membelanya. Dan Allah Maha Kuasa untuk menyembuhkan Ustaz seandainya Ustaz menyahut seruan dakwahNya. Dan kami sekali-kali tidak akan keluar dari tempat ini melainkan setelah Ustaz menerima..”

Jauh benar diri ini dengan mereka berdua, baik yang mengucapkannya, mahupun yang mendengar ucapan itu.

.

Harusnya seorang daie itu..

Tidak takut melainkan kepada Allah..
“Wahai Bani Israil,Kenanglah segala nikmat yang telah Kuberikan kepadamu, dan sempurnakanlah perjanjian(mu) dgnKu, supaya Aku sempurnakan perjanjianKu dgnmu; Dan hanya kepada Aku sajalah hendaknya kamu merasa takut (bukan kpd sesuatu yg lain).” (Al-Baqarah: ayat 40)

Yakin dengan janjiNya..
“Barangsiapa yang berjihad mencari keredhaan Kami,nescaya benar-benar akan ditunjukkan kepadanya jalan-jalan Kami.” (Al-Ankabut:ayat 69)

Tidak putus-asa dengan pertolonganNya..
“..Janganlah kamu berputus-asa dari rahmat serta pertolongan Allah.Sesungguhnya tidak berputus-asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu,melainkan kaum yang kafir.” (Yusuf: ayat 87)

Tidak risau kerana mengetahui bahawa setiap yang berlaku tidak lain adalah perencanaanNya juga..
“Tidak sekali-kali akan menimpa kami melainkan apa yg memang telah ditetapkan Allah bagi kami,Dialah Pelindung yg menyelamatkan kami,maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang mukmin bertawakal.”(At-Taubah: ayat 51)

Tidak mengharapkan apa-apa selain keredhaanNya..
“Dan sesungguhnya pahala akhirat itu lebih baik..” (Yusuf: ayat 57)

.

Jika Allah ingin memberikan kebahagiaan kpd seseorang,
Dia tidak boleh ditahan oleh apa-apa tangan sekalipun.
Jika Allah ingin menghalang kebahagiaan kpd seseorang,
Dia tidak boleh dihulur oleh mana-mana tangan sekalipun.

Jika Allah mengatur untuk kita..
Sesuatu yg org lain sangkakan sebagai tewas,
Maka kita tetap akan melihat kemenangan dari sisiNya.
Jika Allah menetapkan untuk kita..
Sesuatu yg org lain rasa rugi,
Maka kita akan mendpt keuntungan dari jalan-jalan yg manusia tidak sangka.

Jika Allah uruskan urusan kita..
Dan tidak meninggalkan kita,tidak menyerahkan diri kita kpd kita sendiri walau sekelip mata,
Maka akan selesailah semuanya dgn apa yang terbaik.

.

Semua ini aqidah. Simpulan-simpulan dalam hati seorang Muslim yg mengaku beriman kepada keesaanNya. Yang memberi makna dan kesan kepada kehidupannya,mengubah sikapnya dan cara pandangnya kepada dunia, memberi harapan kerana adanya tempat pergantungan,iaitu Allah Subhanahu wa Taala.

.

Nukilan dari hati yang tulus,sesal dan sedang berharap kepadaNya. Dikongsikan buat peringatan kepada diri sendiri dan sahabat-sahabat yg dikasihi. Jangan menjauh dariNya, walau apa alasan pun. Jangan longgar dalam pegangan dan amanahmu, mudah-mudahan dgn itu Allah akan sudi bersama dan mengampunkan.

Astaghfirullah al-adzim.

.

ar-rumaisa
Ireland

Tiada Kamera Secanggih Mata

August 16, 2012
iris

10.30 pm – Dia membuka cermin mata hitamnya dan duduk di hadapan saya. Baru perasan mata kirinya itu adalah mata palsu; mata plastik. Saya memulakan pemeriksaan mata.
“Your right eye is fine, Eddie. Nothing serious. Just a tiny scratch on the cornea that will resolve itself within a few days. I’ll give you an antibiotic cream for that. “
Tiba-tiba pemuda sebaya saya itu menangis. Bercucuran air matanya tidak berhenti. Saya sukar untuk menenangkannya. “Thank you doctor! Thank you!”
Pelik juga saya pada mulanya. Dia sanggup menunggu di hospital selama 7 jam semata-mata untuk berjumpa dengan saya hanya kerana matanya merah?? Bukannya kerana sakit pun. Lalu dalam esakannya dia bercerita, 10 tahun lalu seketul paku terpelanting masuk dan menusuk ke dalam mata kirinya, dan matanya tidak dapat diselamatkan walaupun selepas beberapa pembedahan,lantas dia buta sebelah. Disebabkan jangkitan kuman serta nanah yang teruk, akhirnya mata kirinya itu dikeluarkan terus. Oleh sebab itu, dia menjadi fobia, risau, tidak tidur malam, apabila satu-satunya mata yg dimilikinya tiba-tiba merah.

.

Spontan dalam hati, saya mengucap syukur kepada Allah atas penglihatan yang sempurna kedua-dua mata saya. Sungguh kesihatan adalah antara nikmat Allah yang paling selalu kita lupakan. Tentang mata, Consultant saya pernah berkata,
“The eyes are vital. You look with your eyes. You communicate with others through your eyes. And when people speak to you, usually they don’t look elsewhere, they look into your eyes, don’t they?”

.

Nak cerita canggihnya mata ciptaan Allah..
Walaupun kita sedang memandang lurus ke depan, tanpa menggerakkan mata, kita tetap boleh nampak kelibat orang bergerak di tepi kita kan? Ini kerana ruang penglihatan (visual field) bebola mata kita dijadikan Allah sangat luas. Tidak ada kamera yang mampu dicipta begini. Kamera hanya boleh fokus kedepan, tidak dapat pada masa yang sama seperti mata menangkap sejauh apa yang di kiri atau di kanan.

.

Namun, mata kita bukanlah seperti kamera yang mengambil gambar, tapi lebih seperti streaming video, bergerak setiap masa dan merekod kesemua maklumat, menghantarnya ke otak untuk diteliti dan difahami. Kalau nak banding, berapa kelajuan internet kita? Pernahkah kita terfikir berapa kelajuan maklumat bergerak dengan kabel saraf kita dari mata ke otak dan kembali semula ke mata? Kemudian spontan menentukan tindakan kita, tangan kita bergerak mencapai benda itu, atau kaki kita melangkah dan memanjat. Berapa laju? Berapa mili saat? SubhanAllah!

.

Kita ada 2 biji bola mata dgn saraf yg tersendiri, namun geraknya sentiasa selari, sentiasa bersama. Kalau tidak selari, sudah tentu kita akan pening. 2 imej berasingan yang dilihat oleh setiap bola mata itu kemudiannya dicantumkan menjadi satu imej oleh otak, memberikan kita pandangan 3 dimensi. Maka kita dapat mengagak jarak jauh sesuatu benda dari kita. Kalau kita cuma ada sebiji bola mata saja, 3-dimension vision kita tak jadi, tidak tepat, tidak selamat untuk memandu kereta.

.

Cukuplah ada sehelai saja bulu mata termasuk ke dalam mata kita sendiri, bahkan apa-apa yg lebih halus daripada itu, kita akan cepat merasanya. Begitulah sensitifnya kornea kita, yang Allah cipta melindungi bahagian depan mata kita. Kalau ada rambut jatuh atas kulit kita pun kadang-kadang kita tak perasan. Namun kornea kita diciptakan Allah super sensitif, dengan kebolehan untuk pulih cepat seperti sediakala tanpa parut dalam masa 2-3 hari jika tercalar/terkopek hanya pada permukaan. Telus dan jernih agar tidak mengganggu penglihatan.

.

“Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau ciptakan semua ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau. Maka lindungilah kami dari azab api neraka.” (ali-imran : ayat 191)
.
Kepada siapa lagi harus kita memuji dan berterima kasih? Bersyukur dan beribadah? Sesungguhnya segala apa yang telah dilihat, apa yang telah disaksikan, ditonton oleh 2 biji bola mata yang sempurna ini akan dipersoalkan di Hari Akhirat kelak.

.

Saya telah menonton satu dokumentari tentang para huffaz quran dari seluruh dunia, bertajuk ‘Quran by heart‘ (LIKE!). Terdetik..
Seandainya…
Suatu hari tiba-tiba Allah menarik nikmat penglihatan daripada saya, lantas….
berapa banyakkah Al-Quran yang sudah ada melekat dalam dada saya? Berapa ayatkah yang lidah saya mampu bacakan? Berapa surah sajakah yang mampu saya lantunkan? Lebih penting lagi, bukan cuma di bibir, tapi banyak mana ayat al-quran yang terkesan menjadi cahaya dalam hati?

Dengan segala deria yang sempurna sekarang ini, setakat manakah yang saya ada dalam dada sebagai bekalan?

.

Allah berfirman..
“…sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati di dalam dada.” (surah al-hajj : ayat 46)

.

.

Ya Allah, celikkanlah mata hati kami, sentiasa menyaksikan dan berjalan dengan cahayaMu.

.

ar-rumaisa
Ophthalmology Trainee

bila nenek nasihat

February 1, 2012

Saya berdiri di tepi meja, menyelak-nyelak failnya yang nipis, sambil membaca surat (referral letter) yang dihantar oleh doktor dari komuniti tentang pesakit itu. Referred for assessment ? glaucoma. Saya lebih suka untuk membaca ‘latar belakang’ pesakit sebelum memanggilnya masuk ke klinik saya.

.

Dah 81 tahun… panjang umur nenek ni. Spontan tergambar di minda saya – mesti datang dengan anak /cucu, bongkok, bertongkat, berkerusi roda mungkin. Saya ke tempat menunggu dan memanggil namanya, “Mrs Siobhan McCarthy!”

.

Betapa sangkaan saya jauh meleset !
Yang bangkit dari kerusi adalah seorang nenek yang sangat bergaya! Dengan sweater merah dan beg tangan, sendirian sahaja, berjalan tegap ke arah saya, laju tanpa masalah. Saya pula yang naik gagap, terkesima sekejap. Setelah mempersilakannya masuk ke bilik saya, bertanya itu dan ini, saya mendapati dia tiada penyakit macam-macam pada usia itu, tidak berulang makan ubat apa-apa, matanya juga masih terang. Saya memeriksa matanya dan melihat keputusan-keputusan ujian mata, lantas membuat kesimpulan dia juga tidak menghidap Glaucoma, cuma mungkin perlu check-up beberapa bulan lagi.

.

Me : You look very healthy Mrs McCarthy.
Patient : I’ll tell you why, as a tip for you young people. I EXERCISE ! everyday. I used to play tennis, and now i jog. I hope you do too.
Me : …. (senyum kambing)

.

Huh. Terasa. Kena tembak.
Bila entah kali terakhir exercise betul-betul. Lari-lari setiap hari sebab nak cepat dan naik turun tangga dalam hospital adalah. Kalau malas, naik lif. Kalau boleh, nak parking kereta depan pintu supaya tak payah jalan langsung. Itu boleh kira exercise ke? Tak layak.

.

Teringat Atuk kat kampung, dah 85 tahun masih lagi menoreh getah tiap-tiap hari. Lepas tu pegi pasang jala kat sungai. Menebas kebun lagi. Sihat dan kuat. Ramai je tok-nenek kita nun di kampung gagah lagi. Tak reti duduk diam di rumah. Kita yang muda-muda duduk bandar ni yang banyak penyakit. Makanan merapu-rapu, tak exercise, tension lagi dll. Lepas tu salahkan keturunan?

.

Bagi sesetengah penyakit (seperti Diabetes & sakit jantung), walaupun ada faktor genetik, namun cara hidup, pemakanan dan rokok itu sangat besar sumbangannya dalam menjadi penentu !

.

Saya selalu berpandangan doktorlah antara orang yang tidak cukup jaga kesihatan.

Mula-mula saya tamat pengajian baru-baru jadi doktor dulu, saya kurus, hilang berat badan 3 kg dalam masa 2 bulan. Tidak pandai urus masa dengan pekerjaan yang sibuk, makan apa yang cepat dan sempat (maggi / coklat), solat pun jamak, tension di tempat kerja, masa tidur berterabur dll. Ibu saya poskan berbotol-botol vitamin dan supplement untuk saya (yg akhirnya expired kerana tidak dimakan juga).

.

Oleh itu…
Saya berterima kasih pada Mrs McCarthy kerana ‘menembak’ saya. Azam baru sempena… sempena… Maulidur Rasul – nak exercise! Mungkin ia perkara yang kelihatan enteng, namun kalau umat Islam memandang remeh, kita akan lemah, tak sihat, banyak perkara tidak boleh buat, banyak duit yang habis untuk merawat. Kalau nak Allah lebih sayang, perhatikan sabda baginda :

“Orang mukmin yang kuat LEBIH BAIK DI SISI ALLAH dan LEBIH DIKASIHI daripada orang mukmin yang lemah…”

ini pula hadithnya yang penuh…

“Orang mukmin yang kuat LEBIH BAIK DI SISI ALLAH dan LEBIH DIKASIHI daripada orang mukmin yang lemah, sedangkan setiap seorang itu mempunyai kebaikannya ; oleh itu hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas; dan sekiranya engkau ditimpa sesuatu, maka janganlah berkata, ‘Kalaulah aku lakukan itu ini, tentulah terjadi begitu begini’, tetapi katakanlah ‘Allah telah takdirkan, dan apa yg dikehendaki oleh kebijaksanaaNya Ia lakukan, kerana perkataan ‘kalau’ itu membuka jalan kepada hasutan syaitan.” (hadith riwayat sahih Muslim).

.

ar-rumaisa

ombak jahat

January 3, 2012

Saya tidak tahu di mana nak mula. Untuk memilih perkataan dan menyusun ayat terasa sukar. Beberapa lama saya berdebat dengan diri sendiri – perlukah saya menulis tentangnya, apakah isu ini terlalu picisan untuk dikedepankan dalam blog ini, risiko saya akan mengguris hati orang, atau nampak macam extreme dll. Sungguhpun terasa sesak dada ini, namun akhirnya hati saya tetap merasa terpanggil untuk berbicara, kerana saya memandang isu ini berat sekali. Sekurang-kurangnya saya menukilkan pandangan jujur saya, menyampaikan apa yang saya percaya sebagai sesuatu yang perlu difikirkan bersama inshaAllah.

.

Baru-baru ini, heboh orang bercerita tentang filem Ombak Rindu, dalam akhbar, dalam YouTube, dalam facebook, memang merata.. baik perempuan mahupun lelaki. Bait-bait kata dari filem itu juga ‘dipinjam’ dijadikan status facebook. Dilaporkan hanya dalam 14 hari sahaja, filem itu mengaut keuntungan mencecah RM 11.2 juta!  Begitu penangannya. Mungkin jalan ceritanya menarik, mungkin kerana novelnya, mungkin itu dan mungkin ini. Biasalah untuk ke layar perak, filem perlu ada daya penariknya. Kisahnya perlu cukup dramatik, pelakon yg mampu membawa watak hingga menggamit rasa sesiapa yang menonton, aksi, adegan dan sebagainya. Kisah seorang ustazah yang menjadi pelacur, kahwin lari, dianiaya, di samping tragedi-tragedi dan krisis jatidiri, krisis keluarga yang lain. Apa yang pasti, ramai terhibur.

.

Siapa yang tidak suka hiburan? Namun sejauh mana kita boleh bertoleransi dan apa yang sanggup kita korbankan untuk mendapatkan hiburan itu? Saya tidak pelik wang sebanyak 11.2 juta ringgit berterbangan dari poket-poket rakyat Malaysia kerana filem ini. Yang saya terkesima adalah dahsyat sekali tahap keruntuhan moral yang kita sudah terbiasa hingga hati ini sudah tumpul, tidak sensitif lagi, tidak marah lagi, tidak kutuk lagi.

.

Saya bukan mengomel tentang oh teruknya pelacur, oh dahsyatnya kelab malam, minum arak dan apa-apa budaya yang dipaparkan dalam filem itu. Sudah itu yang menjadi jalan ceritanya. Saya taknak komen sebab tersendiri mengapa pihak filem memilih watak ustazah sebagai heroin, walaupun dalam novel asalnya heroin adalah seorang kerani. Juga taknak membebel tentang gambaran Islam yang sekadar pada tudung dan pasif. Mesej yang cuba disampaikan? Jatidiri? I’ll leave those discussions for another day.

.

Yang saya terkesima, yang saya tangisi adalah ramainya penonton yang ok saja untuk menonton filem itu, tidak rasa filem itu bermasalah untuk ditayangkan di khalayak. Saya sedia maklum ada banyak filem yang tidak soleh di luar sana – bukan filem barat, tapi filem malaysia. Saya akui kita memang sudah terbiasa tengok banyak benda tak soleh. Tapi…………

Ombak Rindu ni punya tak soleh… adalah tahap EXTREME tak soleh, tak soleh peringkat ranjang atas katil, sebanyak 3 adegan!!! How can we tolerate that?? Adalah 1 kegilaan, bahawa rakyat Malaysia sudah mampu menerima adegan seteruk ini di pawagam dan televisyen-televisyen rumah kita. Kita tak terasa nak pengsan, tak terasa nak cepat-cepat tutup mata, rasa marah, rasa kesal, rasa nak saman, dan rasa tak boleh tolerate filem sebegitu.

.

Tidak. Masyarakat sudah boleh terima.

Buktinya, mereka untung RM 11 juta. Filem ini ditonton segenap lapisan masyarakat tanpa masalah. Status-status facebook tidak banyak pun yang menyesali keberanian pembuat filem memasukkan adegan ranjang yang bertubi, sebaliknya pujian dan sanjungan atas kejayaan filem. Semuanya dianggap lumrah, daya penarik, perlu untuk menghidupkan cerita dan untuk menyampaikan ? pengajaran.

.

Saya tidak mahu terlalu negatif, seolahnya tidak nampak adanya kebaikan lagi. Namun, justifikasi kebaikan itu biarlah berpada. Kalaulah diumpamakan dengan makanan, walau berkhasiat, walau nampak sedap menggoda meleleh air liur macam mana pun, mesti kita tak sudi sentuh pun apatah lagi menelannya, kalau kita tahu dalam resepi makanan itu ialah tahi kucing sebanyak 1 gram. Maka apakah yang menyebabkan kita bertoleransi dengan adegan ranjang selama berminit-minit demi menonton filem yang kononnya bagus ?

.

Alangkah banyaknya perkara yang kita terbiasa…

Kita tidak terkejut lagi melihat berita statistik 1 orang anak luar nikah lahir setiap 17 minit di Malaysia. Kita tidak terperanjat lagi mendengar 50 000 orang remaja Lembah Klang memohon untuk murtad. Dah biasa dengar, tak suprise dah.. selagi tak melibatkan kakak kita, adik kita, sepupu kita, kawan baik kita dll. Setakat lagu-lagu yang mengajak beri kucupan sayang dan belaian kepada kekasih, sebahagian kita memang hafal liriknya. Video game yang pelik atau bergambar seksi.. budak sekolah rendah pun main.

.

Sungguh proses penghakisan iman ini bukan memakan sehari dua.
Proses menyuntik ubat pelali kepada umat ini bukan memakan seminggu dua.
Kita tidak boleh terus terlena.
Kita tidak boleh bersetuju untuk terus menjadi mangsa keadaan.

.

Seruan keimanan mesti lebih luas dan lebih laju, jika tidak sama luas dan sama laju dengan seruan kesesatan yang menenggelamkan. Hiba hati kita. Tidak lena tidur kita.
Amanah ini terletak di atas bahu kau dan aku.
Kerana kita sama-sama hamba Allah.
Kita cintakan umat ini.

.

ar-rumaisa

.

(ps : saya tidak menonton filem itu. cukuplah dgn trailer, membaca review & berbincang dgn penonton2nya.)

24 jam tak cukup?

December 30, 2011

Terasa masa sudah berlari jauh meninggalkan kita, yang tercungap-cungap mengejar. Ya, kita bersyukur Allah mempertemukan kita dengan jalan tarbiyyah & dakwah ketika masih di usia yang muda, ketika masih di alam siswa, dan sebahagian dari kita, ketika masih belum berdua. Namun, dalam kesyukuran itu, dalam  kemanisan itu, dalam semangat yang membara itu, kadangkala termengah-mengah juga! Rasa tak cukup 24 jam sehari. Rasa tak cukup 7 hari seminggu. Maka banyaklah hak-hak yang tidak tertunai, perkara yang tidak selesai, ukhuwah yang terabai. Astaghfirullah……..

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dlm kerugian.” (Surah Al-Asr : ayat 1-2)
.

Macam mana ni ?
Haarithun ala Waqtihi (menjaga waktu) ?
Munazzamun fi syu’unihi (tersusun urusannya) ?
… muwasofat tarbiyyah ~ banyak yang masih tinggal teori.

Tidak dapat tidak, kita WAJIB menyusun masa. Kita sedar kita bukan lagi mangsa keadaan. Kita tahu dakwah ini bukan satu hobi masa lapang, tapi perkara yang kita mesti melapangkan masa untuknya. Atas kefahaman itu, hidup ini kita perlu atur semula.

.

1. Pentingkan apa yang penting
Sahabat-sahabat yang saya kasihi dan hormati, dipersilakan TULIS segala apa perkara yang perlu dilaksanakan (buat usrah, call emak, hantar assignment, beli tiket), kemudian susun atau nomborkan ikut keutamaan. Jika kita mengharapkan daya ingatan sahaja, bimbangnya akan terlupa, selain tidak disusun keutamaannya. Tulislah di tempat yang mudah untuk kita rujuk. Nak hebat lagi… boleh buat begini:

.

2. STUDY WELL on weekdays.
Kita senantiasa ternanti-nanti hujung minggu, itulah saatnya pertemuan yang membahagiakan bersama teman seperjuangan, menjalin ukhuwah, ziarah, mendengar pengisian yang membasahkan jiwa, buat bekalan menempuh cabaran. Kita tidak suka ketinggalan dengan program-program islami yang kita sedia maklum, berlangsung dalam weekend. Maka, manfaatkanlah sebaik-baiknya weekdays. Sesibuk mana pun, kita wajib memperuntukkan masa study paling minima 1 jam sehari semasa weekdays, kerana kita sedar kita tidak punya weekend.

.

3. Quality time
Apabila bersama insan yang dikasihi, manfaatkanlah masa sebaiknya.
Ketika bersama ibu bapa, bahagiakanlah mereka, biarlah mereka sungguh-sungguh merasai kehadiran kita – sembang dgn mereka, ringankan kerja mereka, berikan layanan khas, moga mereka merasa mereka sangat istimewa ketika bersama kita. Ibu bapa adalah yang paling berhak kita muliakan, selepas Allah & RasulNya. Janganlah ketika berada di rumah, kita sekadar buat hal sendiri.

Begitu juga dengan ahli keluarga yang lain dan sahabat-sahabat yang kita sayangi. Gembirakanlah hati mereka dengan apa carapun ketika Allah merezekikan masa untuk kita bersama mereka. Sesungguhnya mereka telah banyak berkorban untuk kita, bersabar dengan kita, membahagiakan kita. Hanya Allah yang dapat membalasnya. Maka layanilah mereka sebaiknya, muliakan, sokong dan bantu mereka, berikan hadiah dan penghargaan.

Semua ini, dengan izin Allah akan meninggalkan bekas di hati dan memekarkan ukhuwah, melembutkan hati, mencipta kenangan yang manis dan harum, walaupun semasa berjauhan atau ketiadaan kita.

.

4. Dakwah Fardiyyah
Sekiranya bersama mad’u, ucapkanlah kata-kata yang baik, bantulah keperluannya & kehendaknya seberapa daya kita, kerana Allah Taala. Ingatilah apa yang disukainya dan apa yang dibencinya. Raikan kejayaannya. Dakwah Fardiyyah TIDAK bermakna kita perlu bersamanya all the time, but it’s about being there at the right time and doing the right thing. Semoga Allah memberi kita pertolongan dan petunjuk dalam melaksanakannya.

.

5. Jangan bertangguh.
Benar, ada 1 bulan lagi sebelum assignment itu perlu dihantar. Namun, kita beriman dengan sabda Rasulullah “Jagalah 5 perkara sebelum 5 perkara… lapang sebelum sempit.” Justeru, apakah yang menghalang kita dari memulakannya seawal mungkin? Siapa tahu apa akan berlaku 3 hari sebelum tempoh 1 bulan itu tamat? Kita tidak mahu ketinggalan dalam program islami yang best, atau tidak datang usrah, atau tidak hadir ke majlis keluarga yang tiba-tiba muncul, hanya kerana kelam-kabut, tarik rambut, menyiapkan kerja kursus yang telah diamanahkan oleh pensyarah …hakikatnya 1 bulan yang lalu.

.

6. Study smart
Fokus semasa kuliah. Focus, cofus, sufoc. Jangan  berangan, jangan tidur. Menumpukan perhatian semasa lecture akan sangat-sangat-sangat menjimatkan masa study kita.
Apabila belajar, rujuklah silibus. Di zaman universiti, ilmu Allah yang terbentang di hadapan kita dalam kitab-kitab bagaikan laut. Untuk membaca sahaja kesemuanya, kita tidak mampu. Nanti seolahnya meraba dalam terang. Maka rujuklah silibus dan objektif pembelajaran, agar kita tahu mana yang penting dan mana yang tidak. Semoga jangan ada di antara kita yang tidak pernah membukanya. Rancanglah kalendar belajar kita – contohnya, ada 21 topik dan ada 60 hari sebelum peperiksaan. Kalau perlu study group, silakanlah.

.

7. Mesyuarat yang efektif
Agenda dakwah & tarbiyyah yang banyak memerlukan kita untuk selalu berbincang, qadhaya, merancang dan up-to-date. Kalau tidak dirancang, bisa saja mesyuarat kita lama dan berjela-jela, tetapi tanpa keputusan dan hasil yang jelas. Sebaiknya, pengerusi majlis menyenaraikan agenda mesyuarat awal-awal, maklumkan kepada semua yang terlibat sebelum tiba harinya. Ia sangat penting supaya semua ahli tidak datang ke mesyuarat dengan fikiran yang kosong, tetapi datang bersama muhasabah, isi penting dan idea-idea yang telah difikirkan. Hanya menanti untuk dibincangkan dan diputuskan bersama. Ia memerlukan komitmen semua ahli untuk berfikir terlebih dahulu, namun inshaAllah, ia dapat menjimatkan masa semua orang.

.

8. Jaga hubungan dengan Allah
Barakah (berkat) itu tidak dapat dipegang dengan tangan, dilihat dengan mata, diukur dengan pembaris. Allah akan mengurniakannya kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Maka mohonlah kepada Allah, dikurniakan barakah dalam hidup kita, pada masa kita dan usaha kita. Jikalau berkat..
Apa yang sedikit itu akan tetap mencukupi.
Apa yang singkat itu akan tetap memadai.
Apa yang susah itu akan tetap tenang di jiwa.

.

Kita adalah muslim. Kita beriman dengan hadith ini..

“Sesungguhnya Allah telah mewajibkan ihsan pada segala sesuatu..” (hadith riwayat muslim)

Dalam apa jua yang kita laksanakan, kita harus berusaha untuk ihsan. Ihsan – beribadah seolahnya melihat Allah, dan menyedari bahawa Allah melihat kita, merasakan kehadiran Allah, menyedari pengawasan Allah. Maknanya….. kita akan buat semua perkara dengan sehabis baik, sesempurna mungkin. Tidak mungkin kita sambil lewa.

“Dan katakanlah, bekerjalah kamu maka Allah akan melihat pekerjaanmu, begitu juga Rasul-Nya dan orang-orang mukmin. Dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang Mengetahui yang ghaib dan nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan. (Surah At Tawbah: ayat 105)
.
.
ar-rumaisa
Waterford, Ireland.