Skip to content

Di Penghujung Lena

February 17, 2006

Aku tidak menyangka, takdir Allah itu berpihak padaku. Dan sungguh tidakku sangka, aturan Allah itu amat cantik..

Setinggi-tinggi syukur kupanjatkan kerana Allah masih memberiku peluang untuk mengenali ad-Deen yang mulia ini dgn lebih dalam lagi, mencari semula hikmah-hikmah yang telah hilang, yang tercicir dari tangan umat Islam, mencari jawapan kepada persoalan.. Man Ana?

Teringat diriku dahulu, terkapai-kapai mencari tarbiyah, terpinga-pinga minta dibimbing, keliru dengan dunia.. hidupku adalah semata-mata mengikut arus. Namun Allah lah juga yg menakdirkan aku bertemu insan-insan luar biasa yg terlebih dulu menyusuri jalan dakwah, mengajarkan aku seribu satu ilmu yang masuk ke dalam hati, menceritakan Islam kepadaku dengan cara yg tidak pernah diceritakan sebelum ini.

Aku bagai terjaga dari lena yang panjang. Otakku seperti terlerai dari ikatan-ikatan jahiliyyah yang merimaskan. Terasa pagar-pagar jahiliyyah itu runtuh. Terasa Islam yang luas dan amat indah telah dipakaikan ke dalam hatiku. Aku mula nampak, indahnya Islam ini.. keyakinan yang bukan dipaksa atau ikutan, tetapi keyakinan yang timbul dari kesedaran & kefahaman.

Terasa macam… kenapalah baru sekarang tahu benda-benda ni? Terasa macam… baru sekarang ayat-ayat Quran itu turun.. bagai surat yang tertulis khas untukku. Dan qalam Allah itu kubaca dengan perasaan yang amat berbeza.

Juga terasa… betapa indahnya ukhuwah fillah, yang sebelum ini hanya kudengar perkataan itu dari sahabat2 yang bijak berbahasa arab. Kini aku merasai sendiri sulaman kasih Lillahi Taala itu. Rasa sayang bertaut ketika bertemu, hanya kerana aqidah, dan kerana sama-sama di jalan dakwah. Bukankah atas dasar itu jugalah Rasulullah pernah menyatukan Muhajirin & Ansar? Hingga mereka mengasihi saudaranya lebih dari diri sendiri..

Segalanya baru terasa.. seperti yang diungkapkan oleh Syed Qutb dalam kitab tafsirnya yang masyhur… ‘hidup di bawah bayangan Al-quran’.

Mana tidaknya, dahulu aku belajar ilmu Islam untuk exam. Menghafal tanpa memahami, tanpa merasakan apa-apa. Mudahnya aku mengantuk. Anehnya kenapa bila baca novel aku segar? Kerana isinya masuk dalam hatiku, bermain & menyentuh perasaanku. Bukan seperti buku akademik. ‘Kering’. Tidak basah dengan semangat dan ‘ruh’ jihad serta keinsafan. Tidak sampai ke hati. Di mataku ketika itu,ia hanyalah lambakan fakta yg mesti ku hafal. Sama saja seperti subjek lain.. fizik, kimia, bio. Sungguhpun buku itu bertajuk ‘Pendidikan Islam’.

Aku akui, mencari ilmu islam ini memerlukan kesungguhan, jiddiyah. Lagi-lagi selepas tamat sekolah,kolej,uni… bila sudah tiada perkara bernama ‘peperiksaan’. Hinggakan, kadangkala mencari ilmu islam & usaha meningkatkan iman itu diperlakukan seperti hobi – bila ada masa lapang. Tapi…… hobikah itu sebenarnya? Atau ia adalah tanggungjawab…?

Jahiliyyah terus bekerja siang dan malam. Syaitan akan terus menyesatkan sehingga hujung hayatku. Dan jika aku berhenti mencari dan top-up ilmu islam secara bersungguh-sungguh & konsisten selepas tamat pengajian, apa lagi yang hendak kujadikan perisai dari serangan itu sepanjang usiaku yang selebihnya?

Alangkah bahagianya kini. Aku sedar betapa besarnya nikmat Allah berikan padaku. Allah masih membukakan hatiku untuk terus belajar ilmu Islam. Terus belajar & belajar. Tetapi kali ini dgn nawaitu untuk melaksanakan, untuk mengamalkan & untuk menyampaikan. Bila nawaitu belajar itu berbeza, impact nya nyata sekali berbeza…  Iya,benarlah, kerana setiap amal itu bergantung pada niat – itulah hadith nombor 1, the very first hadith yang diutarakan & ditekankan dalam buku Hadith 40 Imam Nawawi.

Namun, aku sedar cabaran untuk istiqamah itu amat hebat. Moga Allah sentiasa mengurniakan petunjuk & ketetapan hati, disertai dengan kekuatan yg lahir dari ukhuwah fillah dgn teman-teman seperjuangan. Untuk semua sahabatku yang dikasihi.. ku doakan, moga kita tak pernah & takkan jemu untuk berusaha mencari bimbingan Allah,menghampiri dan melaksanakan Deenul Haq yang istimewa & sempurna ini.

“Wahai orang yang berselimut. Bangunlah,lalu berilah peringatan!” (Surah Al-Muddatsir:ayat 1-2)

“Ya Tuhan kami,janganlah Engkau palingkan hati kami (dari kebenaran) sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kami rahmat dariMu, kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi (kurnia).” (Surah Ali-imran:ayat 8 )

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: