Skip to content

Selamat Hari Guru

May 16, 2006


sekolahHari ini hari guru.
‘Membina’ manusia tidak semudah membina rumah. Malah ‘membina’ manusia lebih sukar dari membina bangunan 1000 tingkat sekalipun. Untuk ‘membina’ manusia, ia menuntut setiap inci pengorbanan dan segala apa yang kita ada – masa, tenaga, duit, fikiran, kasih-sayang dan tentu sekali, kesabaran yang tidak ada tolok bandingnya. Sempena hari yang bermakna ini, ingin saya titipkan sedikit cetusan untuk menggambarkan penghargaan saya buat golongan mulia ini, yang sama ada kita sedari atau tidak, telah menyumbangkan jasa yang terlalu besar buat ummah ini.

.

Mengimbas kembali kenangan saya di sekolah rendah, dalam darjah 2, saya mempunyai seorang guru bahasa inggeris yang seingat saya, sangat garang. Puan Noraini namanya. Mendengar derap langkahnya menghala ke kelas saja sudah cukup untuk mematikan ayat sesiapa yang sedang bercakap dan suasana hening serta merta. Pendek kata, kami betul-betul menikus! Tapi tentulah itu bukan jaminan kami menumpukan perhatian. Namun, setiap kali markah peperiksaan dikeluarkan, Puan Noraini sendiri akan membeli hadiah untuk murid-muridnya yang mendapat markah yang baik dan hadiah itu diberikan di dalam kelas. Entah mengapa, saya sangat tersentuh hati apabila guru yang tidak pernah senyum ini memberikan hadiah kepada saya. Pada fikiran saya sebagai murid darjah 2 ketika itu, baru saya tahu rupanya Pn Noraini tidak benci pada murid-murid, tidak benci pada saya. Dan baru saya tahu, dia garang itu kerana sayang. Dan hasil didikannya, saya minat subjek bahasa inggeris. Buku cerita yang dihadiahkannya saya baca berkali-kali. Beliau telah kembali ke pangkuan Ilahi ketika saya di sekolah menengah. Moga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

.
      Saya juga masih ingat kepada Cikgu Azmi. Walaupun dia cuma mengajar saya kelas tambahan untuk subjek Karangan BM darjah 6, tetapi pada usia itu dia telah berjaya memupuk minat saya untuk menulis dan membaca. Atas dorongannya, saya sangat suka menulis karangan, terasa bebas untuk berimaginasi dan menceritakan kepada orang imaginasi saya, atau pengalaman saya, dalam karangan yang saya tulis. Dan dia tidak pernah memperkecilkan cerita-cerita dan karangan-karangan saya. Dengan itu, saya mula berjinak-jinak dengan novel kanak-kanak siri Kenari, sampaikan penuh almari buku di rumah saya, kerana saya rajin membeli. Dia juga telah berjaya memberi semangat kepada saya untuk mula membuka-buka helaian akhbar (walaupun minat itu tidak lama, at least it’s a start!). Pendek kata, dia telah berjaya menanam Budaya Membaca dalam diri murid-muridnya pada usia yang muda, yang sepertimana kita sedia maklum, merupakan satu budaya yang sangat terpinggir dalam masyarakat melayu Malaysia. Saya kira dengan statusnya yang hanya sbg guru tuition, itu satu pencapaian yang sangat hebat!
.
      Cikgu Siti Halijah, guru saya di tingkatan 3 …dia istimewa! Satu-satunya guru yang saya percaya sehingga menjadi kawan, dari dulu, hinggalah ke hari ini. Dan saya bukanlah satu-satunya pelajarnya yang berpandangan sebegitu. Kami boleh berbincang hal pelajaran, masalah peribadi, bergurau, bergosip atau bersembang berjam-jam sambil makan keropok! Rumahnya terbuka untuk pelajar bila-bila masa. Nombor telefon Cikgu Siti, satu kelas ada simpan. Tidak seperti pelajar sekolah/kelas lain, jikalau kami menganjurkan reunion, tentulah bukan kami saja yang hadir, Cikgu Siti pasti diundang sekali. Hari ini, saya dan kawan-kawan sekelas sudah terpisah, membawa haluan ke universiti masing-masing, tetapi sekali-sekala menelefon Cikgu Siti, saya pasti akan mendapat update tentang kawan-kawan yang lain dari beliau, kerana mereka juga masih menghubunginya! Bukan calang-calang guru yang mampu membentuk ikatan persahabatan yang berpanjangan dengan para pelajarnya. Terima kasih cikgu, atas kesudian hadir ke walimah saya, twelve years later.
.
       Namun hakikatnya ada ramai lagi guru-guru, ustaz-ustazah, murabbi-murabbi dan nuqaba’ yang namanya tidak dapat saya sebutkan di sini, yang telah memberi impact yang sangat besar dan menyumbangkan saham dalam membentuk diri saya yang ada pada hari ini. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui tentang jasa mereka kepada saya dan saya titipkan doa buat setiap seorang, walau di mana jua, yang masih di alam ini atau yang telah berpindah ke alam lain. Moga Allah memberi barakah & melipat-gandakan setinggi-tinggi ganjaran kepada mereka!
.
      Kalaulah saya tidak menjadi seorang doktor, saya ingin sekali menjadi seorang guru, kerana besar dan pentingnya jasa serta peranan yang disumbangkan oleh bidang pendidikan kepada pembentukan ummah. Anak-anak orang Islam berada di tangan mereka by default. Selain ibu bapa, merekalah antara orang terpenting yang awal-awal lagi mewarnakan kain putih ini, mampu mencorakkannya mengikut acuan Al-Quran atau acuan sesat manusia sekalipun.
.
      Dan siapa lagi kalau bukan Rasulullah saw sendiri yang telah berjaya menjadi guru yang teragung? Mu’allim terhebat yang pernah berpijak di bumi? He is the Teacher of all teachers, the Great Syeikh of all syeikhs. Ajarannya masih diterima pakai oleh seluruh umat manusia, tidak kira Islam atau bukan, walau lebih 1400 tahun telah berlalu! Tidak hebatkah itu?
Allahumma solli ‘ala Sayyidina Muhammad.
Allahumma solli ‘ala Saiyyidina Muhammad.
Allahumma solli ‘ala Saiyyidina Muhammad.
.
     Tidak lupa, selepas Rasulullah, penghargaan yang tinggi melangit buat guru yang paling bermakna dalam hidup saya, guru yang pertama dalam hayat saya … iaitu bonda yang tercinta!
.
~ SELAMAT HARI GURU ~
.
.
(edited today, 16 May 2011)
ar-rumaisa

Galway, Ireland
No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: