Skip to content

apabila Allah menyapa

May 18, 2006
tags: ,

      Hari ini, ibu kepada seorang sahabat saya telah pulang ke pangkuan Ilahi. Innalillahi wa inna ilahi rajiuun. Sesekali apabila berita kematian datang menyapa, terasa dunia bagai berhenti seketika. Semua urusan sebolehnya diketepikan untuk memberi ruang menerima berita ini. Mesyuarat-mesyuarat, kerja-kerja, majlis-majlis, aktiviti-aktiviti… yang tidak penting akan dibatalkan, yang penting akan ditangguhkan. Yang pasti, semua yang menerima dan terkesan oleh berita ini akan berkumpul bersama, baca yasin, berpelukan dan saling mengucapkan takziah. Terlupa semua hal-hal lain, menenggelamkan apa-apa perasaan yang lain yang pernah wujud. Tiba-tiba saja semua benda tidak penting. Tiba-tiba saja kita tersedar – rupanya ada lagi perkara yang lebih besar dari mesyuarat, kerja, majlis dan aktiviti-aktiviti yang selama ini terasa sangat-sangat penting.

.
      Sesekali dikejutkan dengan berita pemergian seseorang, mungkin itulah tarbiyah dari Allah, buat yang masih hidup dan masih mahu mendengar. Mungkin itu Allah ingin mengingatkan kepada semua orang. Allah ingin menegur, ingin menunjukkan. Bukti bahawa Allah masih kasihan kepada kita. Bukti Allah sayang dan mahu supaya kita dapat mencari hikmah di sebaliknya. Tidak dijadikanNya yang berpindah ke alam lain secara tiba-tiba itu adalah diri kita. Tidak dijadikanNya kita sebagai orang yang baru saja menghampiri kematian, contohnya dengan menghadapi kemalangan, cedera parah tetapi tidak meninggal. Sebaliknya, Allah menyapa kita dengan cara yang lembut melalui pemergian seseorang yang kita kenali. Walaupun hakikatnya berita itu masih umpama halilintar yang menyambar pendengaran kita.
.
      Sungguh semua ini telah Allah aturkan dengan sempurna. Allah telah tetapkan sifulan bin sifulan, yang merupakan sahabat/keluarga kita, supaya ajalnya menjemput, sekian haribulan, sekian waktu, di musim kita yang sedang sangat sibuk dengan urusan duniawi. Di waktu kita sudah lama tidak ingat pada kematian. Tidak muhasabah. Kurang berfikir tentang negeri akhirat sana, tentang mahkamah di sana, tentang betapa ringannya timbangan amal al-Mizan kita. Dalam kegelapan dan kesesatan kita, disuluhkanNya untuk kita jalan, yang mungkin kita telah menyimpang atau terbabas darinya. Dengan mengambil nyawa insan itu, Allah menyapa kita.
.
      Mungkin kita semua akan insaf. Akan menjadi lebih soleh dan solehah daripada hari-hari biasa. Tetapi berapa lama? Adakah kita akan terleka kembali selepas sekian waktu? Sehingga Allah menyapa lagi? Jikalau begitu, alangkah ruginya kita. Mungkin kelak Allah tidak menyapa dengan cara yang lembut lagi, atau mungkin ini adalah amaran terakhir sebelum giliran kita pula tiba?
.
      Hidup di perantauan ini, memang terasa berkali ganda beratnya menerima berita kematian. Bukan boleh balik sesuka hati. Bukan boleh buat keputusan tiba-tiba untuk pulang. Jikalau boleh pun, tidak akan sempat menatap insan kesayangan kita sebelum dikebumikan. Perjalanannya terlalu jauh dan tempohnya terlalu panjang. Hanya doa yang mampu diiringkan, bersama memori yang mungkin dirakamkan pada kali terakhir bertemu, mungkin bertahun yang lalu? Sungguhpun itu adalah keluarga terdekat seperti ibu dan ayah. Dalam kesedihan itu, terasa ada keindahan ukhuwah yang mengikat. Mungkin selama ini memang ukhuwah itu ada, tapi telah tenggelam dalam kesibukan duniawi. Masa seolah telah menjadi kurang 24 jam dan dunia seolah terlalu sempit untuk bertemu.
.
      Maka kalau kita renung-renungkan, kita akan faham dengan jelas, sesungguhnya dalam setiap perkara itu benar-benar ada hikmahnya. Dalam setiap peristiwa yang telah Allah aturkan sepanjang perjalanan hidup kita, setiap insan yang kita temui, setiap berita yang terdengar dek telinga kita, setiap perkara yang kita terbaca, setiap perkara yang kita terpandang, setiap tempat yang kita lalu, segalanya ada unsur tarbiyah (pendidikan) daripada Allah, buat mereka yang mahu berfikir. Kerana Allah itu sangat-sangat Pengasih kepada hambaNya.
.

Al-fatihah.

“Segala puji bagi Allah Rabb semesta alam.

Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Yang menguasai Hari Pembalasan.

Hanya padaMu kami mengabdi dan padaMu kami mohon pertolongan.

Tunjukkanlah kami jalan yang lurus.

Yaitu jalan orang-orang yang Engkau anugerahi nikmat,
bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai,dan bukan jalan orang-orang yang sesat.”

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: