Skip to content

hati yang remuk

February 27, 2007

An unforgettable memory in a shopping mall,Malaysia…

Lelaki itu mengambil tempat di satu sudut kelam dalam bilik itu dan duduk. Seorang pakcik tua masuk memberi salam dan duduk menyandar di tepi dinding. Kemudian masuk pula beberapa orang pemuda dan berdiri sambil bersembang-sembang di belakang. Seorang demi seorang tetamu Allah masuk meramaikan surau kecil itu. Masing-masing mengambil wudhu’ dan kemudian duduk di atas sejadah. Ada yang bersembang, tidak kurang juga yang bertafakur.

.

Pukul 1.10pm. Bermulalah waktu Dzhur. Saya tunduk, menunggu-nunggu bunyi azan menyapa gegendang telinga, biar bergema walaupun sekadar dalam surau comel ini. Anehnya, setelah beberapa ketika menunggu, suasana terus sunyi sepi. Tiada azan, tidak juga iqamah. Sedar-sedar saja, bila saya melihat di sekeliling, para pengunjung surau kecil itu yang tadinya datang awal dan duduk-duduk, baik lelaki ataupun perempuan, sudah pun memulakan solat masing-masing… sendirian! Seorang di hujung sana, seorang di hujung sini, di depan, di belakang, bertebaran di merata-rata ruang dalam surau itu.

.

Saya hampir tidak percaya! Hati saya remuk seremuk-remuknya! Saya seperti hendak menangis di situ. Dalam ramai-ramai lelaki tetamu Allah ini, tidak ada seorang pun yang sudi melaungkan azan? Azan; petanda paling agung bermulanya waktu solat. Kalau malu untuk azan,iqamah pun tidak ada yang sanggup? Iqamah; ajakan kepada mereka yang ingin mengejar pahala berjemaah. Tiada azan, tiada iqamah. Imam? Mimpilah saya. Semua lelaki tadi sudah pun solat sendiri-sendiri. Tentulah yang wanita lebih-lebih lagi.

.

Nak dikatakan hendak cepat, tadi ramai yang datang awal pun, tidur-tidur, sembang-sembang, duduk-duduk. Hampir mustahil seramai-ramai manusia yang datang ke surau ini sebelum Dzhur tadi semuanya dalam darurat amat sangat yang hendak cepat.
Lambat sangatkah kalau solat berjemaah?

Mungkin cuma tambah seminit-dua saja dari solat sendirian.
Ataukah merasa malu untuk mengajak orang tidak dikenali untuk berjemaah?
Sekumpulan pemuda yang saling mengenali dan berbual-bual tadi pun tidak solat berjemaah. Bentang sejadah sebelah-menyebelah, tetapi angkat takbir tetap sendiri-sendiri.

.

Saya tidak faham. Apa masalah kita sebenarnya? Hati saya akan remuk-redam setiap kali berhadapan dengan situasi ini di mana-mana sahaja – di surau shopping mall, surau airport, kadangkala sampai dalam masjid pun begitu, kalau orang yang memang berjawatan Imam/Bilal tidak ada. Kadang-kadang spontan saya kembali menyoal diri…

dalam suraukah saya?

Mengapa keadaannya sama saja seperti saya di dalam bilik bersendirian dan tidak punya pilihan selain solat bersendirian? Kenapa…? nak azan pun malu, nak iqamah pun malu, nak solat jemaah pun malu..

apa yang kita malukan sebenarnya?

Andai lelaki muslim tidak mahu azan, tidak sudi menjadi imam, habis… takkanlah muslimah pula harus memikul amanah ini? Astaghfirullah.

.

Dari Abu Hurairah r.a. katanya,
Ya Rasulullah, aku ini buta dan tiada orang yang boleh memimpinku ke masjid.’ Lalu dia meminta supaya baginda memberi kelonggaran padanya untuk tidak ke masjid.
Setelah dia beredar, Rasulullah saw memanggilnya semula dan berkata, ‘Adakah engkau mendengar bunyi azan?’. Orang buta itu menjawab, ‘Ya dengar.’ Baginda berkata, ‘Maka kabulkanlah isi azannya itu.(datanglah berjemaah di masjid)’”

.

saff

Orang buta pun Rasulullah saw suruh juga solat berjemaah di masjid kalau dengar azan. Pasti ada sesuatu yang hebat di situ. Kebanyakan kita cuma terfikir tentang pahala 27x ganda itu saja apabila disebut  hal solat berjemaah. Kalau masih ada orang yang merasa pahala 27x ganda itu cuma hal kecil yang tidak penting pun,tak best pun, ketahuilah, solat berjemaah bukan sekadar untuk itu!

Lebih besar lagi, ada penyatuan hati di situ. Ada kasih-sayang. Walau saling tidak mengenali, andainya semua orang berbaris masuk saff, akan terasa ikatan islam terbina di situ secara spontan. Secara tiba-tiba. Tanpa kata-kata. Alangkah besarnya hikmah Allah memerintahkan solat berjemaah ini didirikan. Something very special yang tidak wujud dalam agama lain dan terlampau penting. Kenapa?

.

Kalau kita fikir-fikirkan, hal solat ialah sesuatu yang sebenarnya semua orang sudah sepakat, tiada orang pun akan bantah – semua orang nak solat Dzhur, semua orang solat cara yang sama, bilangan rakaat yang sama, menyebut bacaan yang sama, menyembah Tuhan yang sama, pada waktu yang sama. Kalau dalam hal paling mudah seperti solat yang kita mempunyai 100% persamaan pun umat islam tak mahu bersatu, tak mahu buat secara berjemaah, apatah lagi dalam hal yang besar-besar? Hal-hal yang pasti akan menimbulkan perbezaan pendapat? Yang melibatkan lebih banyak pihak? Tentu lebih susah!

.

Tapi satu dunia pun tahu, kalau orang islam tak mahu terus kena tindas, terus dihina dan dipijak, kita perlu bersatu. Umat ini perlu sepakat. Kita selalu marah bila dengar negara-negara islam berperang sesama sendiri dan tidak bersatu. Namun, dengan keadaan dalam surau kecil waktu solat Dzhur pun orang tetap tidak mahu bersatu dalam satu saff, masih hendak solat sendiri-sendiri.. seorang di hujung sana, seorang di hujung sini, mungkin jauh lagilah keamanan dunia di tangan islam yang kita impikan!

Maaf mana-mana yang silap, mana-mana yang saya emosi… sekadar luahan hati yang remuk..

.

ar-rumaisa
9 Safar 1428H
– cetusan rasa di multi-faith prayer room Birmingham Airport,UK.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: