Skip to content

Satu Hari di Hari Raya

October 19, 2007

Raindrops Ahad,8.00 malam. Bas mula bergerak. Semakin lama semakin laju. Kampung Galway kian jauh ditinggalkan. Dia melemparkan pandangan ke luar, mengamati butir rintik-rintik hujan yang singgah di cermin tingkap bas yang sedang meluncur. Hatinya ikut gerimis. Tidak seceria waktu dalam perjalanan pulang ke Galway Jumaat lalu.

Di manakah silapnya?

.

Dia tidak puas hati. Ada sesuatu yang kurang. Aidilfitri kali ini dirasakan tidak lengkap. Tidak disempurnakan sebaik mungkin. Nak kata tidak meriah, nak meriah macam mana lagi? Rakyat jelata Muslim Malaysia di Galway memang beraya sakan. Semua orang sibuk kesana kemari menghadiri jemputan yang tidak kurang dari 4 buah rumah sehari. Perut juga terisi dengan makanan lebih dari yang sepatutnya. Nasi impit, rendang, lodeh, soto, mi kari, roti jala… Jangankan satu pertiga perut, entah-entah sudah tidak muat hingga perut terpaksa mengembang untuk menerima makanan atau air minuman yang turun hampir tidak putus-putus. Solat pun termengah-mengah jadinya.

“Sepertiga perut untuk makanan, sepertiga untuk air & sepertiga lagi untuk udara.”

“Makan sebelum lapar, berhenti sebelum kenyang.”

Begitu saranan-saranan Rasulullah (saw). Mujurlah dia terlihat pesanan itu di status Yahoo Messenger salah seorang saudaranya pada Hari Raya Pertama. Maka dia beringat. Terima kasih,ya ukhti!

.

Tapi…

Selepas 2 hari menyambut Aidilfitri di Galway, dia masih pulang ke Sligo dengan perasaan yang tidak enak. Kecewa mungkin. Dia merasa rugi. Sepanjang 2 hari yang lalu, dia terasa seperti hanya mengikut sahaja rentak orang-orang di sekeliling, hanya ‘go with the flow’ …masak, ziarah-menziarahi, berjumpa, bergelak-ketawa, makan, minum, mendengar & menyanyi lagu raya, berjalan-jalan, mengambil gambar… Jadi, apa salahnya?

Tidak ada apa yang salahnya.

.

Dia juga sudah pergi ke majlis takbir muslimah Galway pada malam raya. Ya,dia sudah bertakbir sekuat hatinya. Dia sudah mandi sunat Hari Raya. Dia sudah telefon keluarga di Malaysia. Dia sudah pergi ke majlis solat Hari Raya bersama semua umat Islam Galway pada pagi 1 Syawal. Dia sudah bermaaf-maafan dengan saudara-maranya di sana. Habis, apa lagi yang tidak kena??

.

Pasti…

 

Yang tidak kena adalah dirinya sendiri. Yang tidak menghayati Aidilfitri adalah dirinya sendiri. Yang tidak merasa dekat dengan Tuhan adalah dirinya sendiri. Dia terasa kurang bersyukur sepanjang 2 hari yang lalu. Dia terleka. Dia kurang memuji Allah, dia tidak cukup bertakbir, dia tidak berzikir di dalam hatinya, dia tidak berfikir apa-apa sangat pun. Pendek kata… dia tidak insaf. Dalam kemeriahan masyarakat muslim melayu Galway, Aidilfitri terasa hambar baginya. Tidak bermakna. Salah sendiri. Siapa suruh tak ingat Allah?

.

Bukan dia tidak tahu tentang Aidilfitri para sahabat Rasulullah & para salafussoleh. Dia sedar mereka begitu menginsafi Aidilfitri, meleleh airmata mereka mengenang Ramadhan yang sudah berlalu, hinggakan malam Aidilfitri di zaman itu begitu ‘hening’ dan tenang… dan lisan mereka asyik menyebut-nyebut doa:

….. اللَّهُمَّ بَلِّغْنَا رَمَضَانَ، وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ وَرَمَضَانَ وَرَمَضَانَ

“Ya Allah, sampaikanlah kami kepada Ramadhan, sampaikanlah kami lagi kepada Ramadhan… dan Ramadhan… dan Ramadhan…”

.

Malah mereka juga tenggelam dalam kemanisan qiamulail pada malam raya yang mulia itu, sebelum meneruskan laungan takbir kemenangan & bergembira menyambut hari kebesaran Islam pada keesokan harinya.

“Barangsiapa yang melaksanakan qiamulail pada 2 malam Eid (AidilFitri & AidilAdha), dengan ikhlas kerana Allah SWT, maka hatinya tidak akan pernah mati di hari matinya hati-hati manusia.” (Hadith Riwayat Ibnu Majah)

.

Dia terkenang malam Aidilfitri di Malaysia yang berbeza 180 darjat dari suasana itu. Dia muhasabah hari-hari pertama Syawalnya di perantauan, khasnya di tahun 1428 Hijiriah ini..

 

Astaghfirullahalazim…

Astaghfirullahalazim…

 

Dia menyesal. Titisan air jernih mula berjatuhan dari kelopak matanya. Dia kemudian berkira-kira sendiri – masih sempat, bukan? Untuk menginsafi Aidilfitri, untuk melaluinya dengan penuh rasa rendah diri & syukur pada Allah? Hari ini baru 4 Syawal. Walaupun tempoh untuk melafazkan takbir kebesaran umat Islam itu sudah tamat, tetapi dia masih boleh berzikir.

Dia memanggil-manggil Allah dalam hatinya, memohon ampun atas kelekaannya. Maha Suci Allah, Tuhanku Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

.

Dia teringat bait-bait lirik dalam salah sebuah lagu Aidilfitri, lantas segera dia memasang lagu lama yang menjadi kesukaan terbarunya itu…

Satu hari di hari raya

Aku menangis tanda gembira

Aku menangis tanda ku cinta kepadaNYA………………

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: