Skip to content

kasih tercipta

February 24, 2008
tags: ,

Kasih-sayang adalah sesuatu yang sangat halus yang wujud di dalam jiwa, yang tidak boleh dipaksa-paksa kehadirannya atau kadarnya. Ia sukar untuk digambarkan bagi yang tidak mengetahui, hampir mustahil untuk difahami bagi yang tidak merasai. Tambah sukar lagi untuk memupuk kasih-sayang yang sejati, yang ikhlas, yang tidak bersyarat, yang tidak mengharap balas dan tidak mementingkan diri.

.

Aku sukar sungguh untuk memahami bagaimana yang dikatakan kasih-sayang itu bukti kesempurnaan iman. Kalau sudah sayang, maka sayanglah. Apa kaitan dengan iman? Aku tidak nampak.

.

loveNamun Tuhanku Yang Maha Pengasih & Maha Penyayang masih sudi untuk menunjukkan kepadaku. Ia memakan masa bertahun-tahun, memerlukan berpuluh-puluh hadith tentang kasih-sayang diceritakan kepadaku sebanyak beratus-ratus kali, membaca sirah & kisah-kisah tentang kasih-sayang berulang-ulang kali dan memerlukan lautan kasih-sayang dilimpahkan kepada diriku terlebih dahulu oleh manusia-manusia luar biasa… untuk akhirnya aku memahami perlahan-lahan, apa ertinya kasih-sayang kerana Allah itu. InshaAllah, apa yang sebelum ini terasa amat samar bagiku sudah semakin jelas.

.

Memahami dan dapat merasai kasih-sayang seperti itu aku merasa telah dikurniakan satu nikmat yang maha hebat oleh Rabbku. Dulu, aku hanya menyayangi sebahagian dari manusia-manusia di sekelilingku, dan sayangku itu selalu bersyarat dan ada waktu-waktunya. Hatiku seringkali menuntut balasan dari insan-insan yang aku kasihi. Aku akan rasa jauh hati jika teman-teman rapatku terlupa harijadiku, atau jika aku sahaja yang menefon mereka bertanya khabar, atau jika sahabatku tidak menolongku ketika aku dalam kesusahan, sedangkan aku pernah menolongnya. Aku akan bersedih hati dan merasa tidak diperlakukan dengan adil. Mungkin aku tidak mengungkit, namun hatiku tidaklah begitu lapang.

.

Kasih-sayang kerana Allah tidak begitu. Ukhuwah fillah tidak begitu. Aku teringat Hadith ke-13 dari kitab Hadith 40 Imam Nawawi, Nabi (saw) kita yang tersayang pernah bersabda:

“Tidak beriman seseorang kamu hingga dia mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri.” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Terlalu hebat gambaran baginda tentang kasih-sayang. Macam tak realistik jer. Menyayangi orang lain sama macam diri sendiri?? Mustahil. Aku menyangka tidak ada orang sebegitu di dunia ini, mungkin ibu dengan anak je kot. Namun, pengalamanku berulang-ulang kali telah membuktikan tanggapanku itu salah sama sekali.

.

Ketika aku bermusafir dengan beberapa orang sahabat, ketika hendak tidur malam di sebuah bilik yang agak kecil dan berdepan dengan tandas, aku terkejut ketika sahabatku yang pertama hendak tidur terus membentang tilam bujangnya di lokasi yang paling dekat dengan tandas. Aku menyangka dia akan ambil spot yang terjauh dari tandas, dan orang yang terakhir baring pasti akan terpaksa tidur paling dekat dengan tandas. (Ya lah, siapa yang suka baring dekat-dekat dengan pintu tandas?) Tapi dia telah melebihkan sahabat-sahabat lain dari dirinya sendiri. Biarlah dia yang tidur di tempat yang paling tidak disukai itu. Aku tidak dapat menahan diriku dari bertanya; kenapa bentang kat situ? Tanpa bicara, dengan selamba dia baring dan memejamkan matanya dalam senyuman. Aku terharu.

.

Aku juga pernah berkata secara bersahaja kepada seorang sahabatku, aku teringin makan coklat. Itu sahaja. Tanpa aku ketahui, dia telah keluar dan berjalan ke kedai dalam kesejukan Ireland ini demi untuk membelikanku… coklat! Oh sungguh aku tidak berani untuk bercakap atau meminta sebarang-sebarang dari manusia-manusia luar biasa ini.

.

Jikalau berkongsi makanan, sudah pastilah ketulan ayam yang lebih kecil akan habis dahulu, dan ketulan yang paling besar dan sedap akan ditinggalkan untuk orang yang terakhir makan. Tidak mustahil untuk melihat kerak nasi dimakan dahulu, dan orang yang terkemudian makan akan mendapat nasi yang lembut.kain

.

Jikalau aku meletakkan bakul baju kotor yang aku hendak basuh di tepi dinding dan kemudian aku keluar rumah seketika, seringkali aku kembali dan mendapati baju-bajuku sudah siap berbasuh & tersidai di ampaian!

.

Pada awalnya, aku merasa seronok dengan layanan dan keutamaan yang tidak putus-putus diberikan kepadaku. Namun lama-kelamaan aku terfikir, MasyaAllah, apakah dunia sudah terbalik?? Aku hairan dengan sahabat-sahabatku ini. Namun, kasih-sayang merekalah yang telah menyentuh hatiku dan mendidik jiwaku. Apabila aku mempelajari Hadith 13 (rujuk di atas) itulah baru aku mengerti apa yang selama ini mereka amalkan. Barulah aku mengerti dalam Sirah kenapa orang Ansar menyerahkan rumah tempat tinggalnya kepada orang Muhajirin. Kerana mereka beriman dengan ajaran Rasulullah. Kerana kasih dan sayang yg amat sesama mukmin. Sungguh masih ada manusia-manusia di zaman ini yang benar-benar mengamalkan hadith itu, tidak sekadar ditulis di dalam buku.

.

…..mendahulukan sahabat sebelum diri sendiri dalam segala hal. Makanan yang sedap dihebahkan dan dikongsi, yang tak sedap saja dimakan sendiri. Barang yang best dan disayangi dihadiahkan kepada sahabat, yang tidak cantik dan kurang digemari disimpan sendiri.

…..bukan bagi orang apa yang diri sendiri taknak….. bukan habiskan coklat dalam beg yang tinggal sikit sebelum orang lain nampak, sebab takut tak cukup nak kongsi….. kalau mempunyai sesuatu yang disukai oleh si sahabat, tetapi kuantitinya tidak cukup, janganlah kongsi. Kasi saja semua padanya!

.

Dan apabila aku membaca semula (buat kali yang entah keberapa) & mula menghayati Hadith ke-35 pula, baru aku sedar kenapa sahabat-sahabatku selalu amat berusaha menjaga diriku, barang-barangku, hati dan perasaanku dari terguris oleh sesiapapun atau apa-apapun. Aku baru sedar… aku baru sedarhadith ini yang rupanya selama ini mereka imani……..

.

Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata, Rasulullah saw telah bersabda:

“Janganlah kamu saling dengki-mendengki, tipu-menipu, benci-membenci, belakang-membelakangi antara satu sama lain. Janganlah sebahagian kamu menjual di atas jualan orang lain. Hendaklah kamu menjadi hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorg muslim adalah saudara bagi seorang muslim; dia tidak boleh menzaliminya, membiarkannya (dalam kehinaan), membohonginya dan menghinanya. Ketaqwaan itu di sini (sambil baginda menunjuk ke dadanya 3 kali). Cukuplah seseorang itu mendapat keburukan apabila dia menghina saudaranya yang muslim. Setiap muslim ke atas muslim yang lain itu haram darahnya, hartanya dan maruah dirinya.” (Riwayat Bukhari & Muslim).

bungaRasulullah mengaitkan antara menjaga saudara dengan taqwa! Hadith yang jika sungguh diamalkan, akan langsung merubah dunia! Persahabatan menjadi bermakna dan sangat indah. Mungkin tidak perlu pun kepada International Friendship Day atau messages/email yang comel & penuh teddy bear untuk mengatakan kita menghargai sahabat kita. Kebanyakannya hanyalah kata-kata indah yang tidak disertai pun dengan makna dan keikhlasan hati. Hanya forward sbb rasa comel. Sedangkan hakikatnya, pada hari-hari lain, tidak ada pun pertanyaan khabar, tidak wujud pun sikap berhati-hati yang sangat untuk menjaga perasaan kawan ketika berkata-kata atau bergurau, jarang pun mendahulukan dirinya dalam apa-apa hal, tidak protective pun kalau orang lain merendah-rendahkan dirinya, tidak rasa keberatan pun untuk menolak ajakan & permintaannya, bahkan selalu berharap supaya dia yang faham kita. Itu semua adalah hak-hak ukhuwah, hak-hak persahabatan yang tidak ditunaikan. InshaAllah, pasti ada di antara kawan-kawan yang forward emails & messages comel itu dengan seikhlas hati. Maka, sempurnakanlah hak-hak ukhuwah itu.

.

Imam Al-Ghazali telah berkata,

“Ukhuwah itu bukanlah terletak pada kata-kata yang manis atau pertemuan, tetapi terletak pada sejauh mana ingatanmu terhadapnya di dalam doamu kpd Allah Subhanahu Wa Taala.”.

Rasa kasih bukanlah kerana sahabat itu satu negara, atau satu sekolah, atau satu bangsa, atau satu rumah sewa, atau satu kampung, atau satu pertalian darah, tetapi hanya kerana dia itu satu aqidah dan satu iman. Itulah kasih-sayang kerana Allah yang tidak ada tolok-bandingnya.

.

Berimanlah kepada hadith-hadith Rasulullah saw dgn sungguh-sungguh & berimanlah kepada Allah dengan sebenar-benarnya, hingga iman itu terlahir sebagai amal. Wallahi, kemudian kasih-sayang pasti akan dirasai hingga memenuhi jiwa kita, lantas akan melimpah ruah buat manusia yang lain pula. Beriman, dan kemudian saksikan sajalah bagaimana Allah Ar-Rahim menyatukan antara hati-hati hambaNya…..

“Dan ALLAH LAH YANG MENAUTKAN HATI-HATI mereka. Jikalau ENGKAU MEMBELANJAKAN segala apa yang ada di bumi, nescaya engkau TIDAK akan dapat menautkan hati mereka, tetapi Allah telah menautkan hati mereka. Dan Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Al-Anfaal:ayat 63).

Semoga Allah menautkan hatihati kita….

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: