Skip to content

Satu Rindu

August 22, 2008
tags: , ,

drinkKita selalu tak perasan yang sebenarnya kita haus dan dehydrated semasa sedang sibuk buat kerja. Kita terlupa ataupun memang melupakan saja, sebab tidak ada masa dan terus sahaja dengan kerja kita. Apabila akhirnya dapat minum air, ketika itu barulah tersedar, sebenarnya betapa haus dan keringnya tekak kita! Segelas air sejuk itu menjadi nikmat yang hebat.

.

Mungkin itulah perumpamaan yang paling dekat untuk menggambarkan perasaan yang hadir sebaik sahaja saya masuk ke perkarangan Aisha Mosque di Walsall,UK. Entah mengapa saya terasa begitu syahdu berdiri di dalam masjid itu, di ruang solat yang berpermaidani hijau. Perasaan itu tidak dapat ditahan-tahan lagi ketika saya menggabungkan diri ke dalam barisan saff yang panjang, menyahut setiap bait azan & iqamah yang dilaungkan oleh Muadzin. Terasa seperti satu rindu yang amat dalam, yang tidak pernah saya sedari kewujudannya, sedang terubat.

..

aisya-mosqueSungguh, saya tidak pernah sedar pun saya sangat rindu kepada masjid. Kepada suasananya, kepada ketenangannya, kepada berada di dalam barisan saffnya yang panjang, kepada kekuatan gema suara imamnya, kepada solat di sebelah orang tak kenal, dan macam-macam lagi yang saya sendiri tidak reti untuk menyebutkan. Ya, saya tahu solat di rumah sendiri itu adalah lebih afdhal bagi seorang muslimah daripada solat di masjid. Namun, Rasulullah saw juga tidak pernah menghalang kaum wanita dari pergi ke masjid. Sungguh, masjid mempunyai ’sentuhan’nya yang tersendiri kepada jiwa.

.

Saya selalu solat berjamaah. Tetapi hanya di rumah, di dalam saff yang ahlinya tidak lebih dari 3 orang. Di Galway dulu tidak ada masjid. Di Letterkenny sekarang ini juga tidak ada masjid. Yang ada cuma sebuah rumah kecil yang penuh barakah, diwakafkan oleh seseorang yang dermawan untuk berfungsi sebagai pusat Islam. Itu sajalah yang kami ada. Kalau Jumaat,terawih atau raya, bentang karpet atas basketball court, solat ramai-ramai kat situ. Sesekali saya dapat solat di masjid, lain benar perasaannya.

.

Dan Aisha Mosque di Walsall itu memang masjid yang istimewa. Di sana ramai orang muda! Tidak seperti masjid-masjid di tanahair yang seingat saya, kebanyakannya dihadiri oleh pakcik-pakcik, atuk-atuk, makcik-makcik dan nenek-nenek, kecualilah kalau masjid itu dalam kawasan universiti. Aisha Mosque bukan dalam kawasan mana-mana universiti, tetapi ramai pula orang muda di situ.

.

Ada ramai budak-budak belajar Quran dan apabila saya meneliti rak bukunya,bukan saja ada Muqaddam, tapi ada banyak buku cerita untuk kanak-kanak, kisah Nabi-nabi dan sebagainya. Di satu sudut lain masjid itu, kelihatan 2 orang perempuan muda berbangsa Pakistan, bertudung, sedang asyik bersembang menerangkan Islam kepada seorang perempuan berambut blonde. Wanita British ini datang ke masjid, dan mengatakan dia berminat dengan Islam, meminta diterangkan tentang Islam, minta diajarkan cara memakai tudung dan agar diberi bahan bacaan. Imam masjid segera membawanya ke ruang solat Muslimah dan tanpa teragak-agak, terus memanggil salah seorang dari kami untuk melayan, lalu disahut oleh 2 pemudi Pakistan tadi. Tepat pukul 2 petang, ruang solat segera bertukar menjadi ruang seminar. Pemuda-pemudi semakin ramai. Kerusi disusun di ruang solat itu. Mereka memasang mikrofon dan laptop untuk powerpoint presentation. Bagi saya, masjid ini ‘hidup’.

.

putrajaya-mosqueAisha Mosque tidak sebesar mana. Permaidaninya tidak setebal Masjid Putrajaya. Tidak ada sejadah dan telekung bersulam-sulam disediakan. Namun suasananya begitu menyentuh jiwa, mengubat rindu. Aisha Mosque tidak didatangi oleh pelancong luar yang mahu melihat senibina, tetapi oleh penduduk tempatan yang mahu melihat Islam.

.

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah yang telah mengubat satu rindu.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: