Skip to content

Saat Pintu Syurga Terbuka

September 3, 2008

“Apabila datang Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka.” (hadith riwayat Muslim)

Berat rasanya hendak menulis tentang Ramadhan. Kecil dan hina rasanya diri ini hendak mengungkapkan tentang bulan agung ini kerana amal diri yang tidak seberapa. Namun atas rasa kewajipan berkongsi nasihat yg diterima, atas keimanan bahawa ’sharing is caring’, berbekal doa moga saudara-saudaraku mendapat sekelumit manfaat, kugagahkan jua. Moga Allah mengira nukilan ini sebagai ibadah yg ikhlas.

Sang Ramadhan sudah 7 hari bertamu menziarahi bumi. Umpama musimmenuai yang hadir cuma seketika, menjanjikan buah-buahan yang dekatberjuntaian, indah warnanya lagi manis dan masak ranum, istimewa buat mereka yang sudi bekerja untuk memetiknya. Alangkah rugi mereka yang hanya mahu berdiri di luar pagar ladang Ramadhan ini. Lebih dungu lagi ialah mereka yang berada di dalam ladang Ramadhan, berjalan melewati setiap pohon-pohon rendang, tetapi terlalu malas untuk menuai buah-buahan itu! Lantas tidak merasa kemanisannya.

.

Apa khabar imanmu Ramadhan ini, saudara-saudaraku?

Moga sepasang mata ini juga ikut berpuasa… izinkan peti televisyen itu berehat. Seperti puasanya telinga… dari lagu-lagu pembawa virus perosak. Dan moga lidah ini juga berpuasa bersama… jauh dari perkataan yang sia-sia, apatah lagi yang dusta dan sesat.

.

Jujur kukatakan, aku ingin berubah. Kuharapkan Ramadhan ini bisa memberikan momentum yang kuat untuk kugagahi perubahan diri. Seringkali hati ini susah untuk diajak kepada kebaikan. Satu saat terlintas niat untuk berbuat amal soleh & meninggalkan larangan Allah, tapi terasa sangat berat. Kemudian kembali lagi kepada dosa. Meskipun dosa itu diiringi penyesalan yang amat dalam, ia selalu berulang, dan berulang lagi. Jika keadaan sudah sedemikian rupa, maka seperti kata seseorang kepadaku, ”Sudah saatnya hati itu dibersihkan!”.

.

Imam Al-Ghazali berkata, hati ibarat cermin. Apabila cermin itu bersih, mudahlah seseorang itu hendak melihat dan menilai, di mana cacat cela dirinya, mana yang kurang, mana yang perlu dibaiki. Jika cermin itu kotor dan bertompok-tompok hitam, maka tidaklah empunya diri itu dapat bercermin lagi. Dia sudah tidak nampak rupa dirinya yang sebenar. Sungguh, aku tersangat perlu membersihkan cerminku. Sesuatu yang teramat-amat sukar. Tapi, sekarang inilah peluangku! Ramadhan ini… saat pintu syurga terbuka, saat Allah mudah memustajabkan doa hambaNya, saat tergari iblis & syaitan semua! Moga puasaku dapat mengikis kekotoran cermin itu.

.

Aku menelefon ke kampung beberapa hari lepas.

“Ngantuklah Nim,tapi terpaksa bersengkang mata. Sebab baju orang tempah banyak tak jahit lagi ni.”

Aku hanya mampu diam di hujung telefon. Terjaga seketika dari ketenangan Ramadhan di bumi Letterkenny,Ireland ini – Ramadhan di perantauan yang bersih dari kosmetik hari raya. Rupanya aku terlupa akan fenomena biasa Ramadhan di tanahair. Makcikku bersengkang mata menjahit baju kurung saban hari hinggalah ke tengah malam demi menyiapkan tempahan. Yang menjual kuih juga begitu – semakin bekerja keras menjelang Ramadhan. Aku tidak menyalahkannya. Aku tahu mereka mangsa keadaan. The sale is on. The shopping carnival has begun. Lalu,apa yang dapat kulakukan? Ia di luar batas kemampuanku. Maka biarlah ia menjadi tazkirah buat diriku, dan buat saudara-saudaraku yang masih sudi merayakan Ramadhan ini.“Acik jangan lupa terawih ya..” balasku pendek dan kedengaran dia tergelak kecil di sana, “iyalah Nim.”

.

Ramadhan memang patut meriah, kerana ia bulan pesta ibadah dan bukan kerana apa-apa pesta yang lain. Kemeriahan malam Ramadhan ini seharusnya mengalahkan kemeriahan malam Olimpik Beijing. Berapa kerat sangat atlit yg membanting tulang di Olimpik jika hendak dibandingkan dengan berapa banyak muslim yang berterawih. The night should be alive! The vibe should be felt all over the world. Aura Ramadhan harus seperti gelombang besar yang melanda penduduk dunia. Tiba-tiba sahaja rumah-rumah milik orang Islam menyala lampu-lampunya di malam hari, begitu juga masjid-masjid, kerana ramainya yang berterawih dan bertahajud. Dan iftar (berbuka puasa) harus meriah di mana orang Islam berkumpul utk makan bersama-sama, bertukar-tukar hidangan antara jiran demi mencari barakah dan merebut pahala bersedekah, walaupun pada hari-hari biasa semua orang makan sendiri-sendiri. Digambarkan Rasulullah saw lebih pantas daripada tiupan angin kencang dalam hal bersedekah di bulan Ramadhan.

.

Dalam sebuah riwayat, dikisahkan para sahabat pernah mengadu kepada Rasulullah saw:

‘Wahai Rasulullah, kami makan tetapi tidak kenyang?’ Baginda berkata, ’semoga ini adalah kerana kalian makan secara bersendirian.’ Mereka berkata, ‘benar’.  Rasulullah bersabda, ‘berkumpullah pada makanan kalian (makan bersama) dan sebutlah nama Allah, moga Dia akan memberi barakah ke atas kalian.” (Hadith Muttafaq ‘Alaih)

 

.

Namun, bak kata seorang saudaraku, Ramadhan di perantauan juga boleh menjadi umpama Perang Badar.  300 lawan 1000. Amat sukar dan melelahkan. Untuk menghidupkan Ramadhan di tengah-tengah lautan manusia yang langsung tidak puasa, bahkan tidak percayakan Allah pun. Hidup mereka tidak berbeza walau sekelumit pun bulan ini. Kenapa pula hendak berbeza? Lalu tinggallah kita sendirian, menjunjung kemuliaan bulan ini seorang diri, mentazkirahkan diri sendiri hari demi hari, mengasingkan mana yang baik dan buruk seorang diri, agar puasa ini tidak terhakis pahalanya oleh maksiat yang berterabur di sekeliling. Ingatlah, sejarah perang Badr pada 17 Ramadhan tahun 1 Hijriah telah melukiskan kemenangan di pihak tentera Mukmin. Maka kita juga MESTI MENANG dalam ‘perang Badr’ di Ramadhan 1429 Hijirah ini.

.

Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda,
“Boleh jadi seseorang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali lapar, dan boleh jadi seseorang yang berdiri solat di malam hari tidak mendapat apa-apa dari solat itu kecuali tidak tidur.”
(Hadith riwayat An-Nasai, Ibnu Majah dan Al-Hakim)

.

Lantas, kesimpulan yang dapat aku pelajari adalah, hidup atau lesunya Ramadhan itu terletak dalam diri muslim itu. Usahlah bertanya bagaimana Ramadhan di perantauan atau di tanahair. The geography doesn’t matter. Ianya terletak di dalam diri, untuk menjadikan Ramadhan kali ini lebih baik dari yang sebelumnya, tanpa mengira di mana kita berada, dalam apa jua keadaan dan situasi. Belajar atau bekerja. Di rantauan atau tanahair. Dalam ramai atau bersendiri.

Pintu syurga telah dibuka. Undangan sudah sampai. Tinggal melangkah sahaja… Ayuh!

.

ar-rumaisa

7 Ramadhan 1429H

One Comment leave one →
  1. Erna Sasha pinky permalink
    October 5, 2010 7:19 am

    Yaaaa,…allah.ko berikanlah aq rahmatmu kepadaku,….Serta keimanan,kesabaran,kerajinan,kecantikkan,kepintaran/kebijaksanaan dan sebagainya yg ada pada mu,…:-)Kau bukalah pintu syurga untuk ku dan kau tempat kanlah aq di syurgamu sepertimana engkau berikan kepada hambamu yg lain.Ya,…allah ya tuhankuuuu,….kau berikan aq jln yg lurus dan ko bukakan pinti hatiku,….Engkau terang kan lah hati ku,….kau doakan aq,kau lindungilah aq serta keluarga kuuu,….AMINNNNN…ROBBANA….ALAMINNN…..Dan,…ko makbulkan doaku,……………serta keluarga ku yg tersayg,……….

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: