Skip to content

Ayat-ayat Cinta

December 12, 2008

aac1

Barangkali kalian akan mengatakan aku ketinggalan zaman. Baru sekarang hendak menulis pendapatku tentang buku novel paling popular itu – Ayat-ayat Cinta, setelah sudah sekian lama ia dibaca oleh sebegitu ramai manusia, bahkan filemnya juga sudah lapuk. Biarlah. Aku tidak kisah.

.

Novel. Seperti biasa, aku tidak berminat. Walaupun mendengar banyak sanjungan tentangnya, awalnya aku tetap merasa bersalah mendekati buku itu, kerana mensia-siakan waktu dengan satu novel, sedangkan masih begitu banyak kitab-kitab yang menuntut masaku untuk ditelaah. Tetapi aku mempercayai sahabatku itu. Tidak mungkin dia akan memuji sesebuah novel semudahnya. Kepercayaan itu mendorong aku membacanya.

.

Mungkin itulah pertama kali apabila aku selesai membaca sebuah novel, menatap helaian terakhir dan kemudian menutupnya, aku seolah merasa mendapat ’sesuatu’ daripadanya, sesuatu yang menambahkan iman. Semoga Allah melimpahkan ganjaran kepada penulisnya, Habiburrahman El-Shirazy. Aku menyedari betapa tandusnya masyarakat kita dari bahan bacaan berbentuk novel yang menambahkan iman. Yang bertaburan cuma novel cinta murahan & picisan. Buku-buku risalah yang bermanfaat memang banyak, tetapi yang berbentuk novel cerita masih kurang, sedangkan itulah yang disukai oleh orang muda.

.

Aku tidak malu untuk mengatakan kisah novel Ayat-ayat Cinta itu memang berbekas di jiwaku. Banyak yang aku belajar darinya. InshaAllah, aku akan cuba menulis mana yang aku ingat. Semoga yang diingati itu bererti yang terkesan, kerana buku itu sudah kuhadiahkan kepada yang lain. Semoga beroleh manfaat darinya lebih dari apa yang aku perolehi.

.

Ayat-ayat Cinta…

Aku belajar kita perlu merancang jalan hidup ini, biarpun perancangan kita mungkin tidak sama dengan perancangan Allah. Aku belajar akhlak yang cantik itu hakikatnya jauh sekali dari terletak pada kata-kata, tetapi letaknya pada amal yang istiqamah hanya untuk Allah, tidak terusik oleh sangkaan dan perkataan manusia. Aku belajar dengan melihat bagaimana apabila seseorang itu menjadi mukmin yang berani. Aku belajar bahawa pengorbanan itu akan diuji keikhlasannya sebelum diterima oleh Allah. Aku belajar tawakal itu amat pahit dan tinggi darjatnya, tidak sesenang lidah mengucapkan ‘tawakal ajelah.’ Aku belajar bahawa untuk memiliki seorang teman hidup yang soleh, sudah pasti menuntut keimanan dan kekuatan jiwa yang seiring dan sama hebat pula, seperti ketabahan dan pengorbanan Aisha.

.

Aku yakin kalian pasti menemukan lebih banyak mutiara berharga dari buku itu, lebih dari apa yang sempat kukutip. Apabila filemnya mula ditayangkan pula, aku mendengar pelbagai kutukan dan pujian. Walaupun hati teringin untuk menonton, aku tidak dapat menjinakkan diriku meluangkan masa untuk itu, sehinggalah aku tidak punya pilihan melainkan duduk sahaja di dalam kapal terbang selama berjam-jam, merentasi bumi dari Barat ke Timur.  Rupanya itulah kesempatanku.

.

Aku tidak menafikan aku kecewa dengan filem itu. Banyak yang kurang dan tidak tepat. Mesejnya juga sudah seakan ‘cair’. Namun aku menyedari masih ada hikmahnya, khasnya apabila lelaki berambut ikat satu yang bekerja di kedai cd itu memegang dvd Ayat-ayat Cinta di tangannya sambil berkata kepada ibuku, ‘Filem ni bagus kak. Pasal islam la.’ . Sekurang-kurangnya tempias kebaikan itu sudah sampai, kepada bilangan yang lebih besar berbanding novel sahaja. Namun, pada pandangan akalku yang cetek ini, filem itu rendah nilainya, jika hendak dibandingkan dengan bukunya.

.

Ia mengingatkan aku kepada satu lagi filem Indonesia yang pernah kutonton, yang aku rasa berbekas di jiwa, bertajuk Tjoet Nja Dhien – iaitu nama seorang perempuan islam, seorang mujahidah yang terukir dalam sejarah Acheh. Cerita itu adalah tentang riwayat hidupnya, dan seakannya dia itu seorang Nusaibah di tahun 1800 di zaman penjajahan Belanda. Aku juga kenal seorang Nusaibah di tahun 2008. Seorang yang bersemangat waja, cocok sekali dengan namanya. Aku berdoa dia akan menjadi persis Nusaibah bt Kaab, sahabiah yang berusaha menyelamatkan nyawa Nabi. =)

.

Filem memang banyak, seperti banyaknya lagu dan banyaknya bahan bacaan, baik buku, majalah atau blog. Terpulanglah kepada kita untuk memanfaatkannya, samada untuk menambah atau mengikis iman. Peringatan juga untuk diri sendiri. Anyway, personally, cukuplah Ayat-ayat Cinta, cukuplah satu novel sahaja untukku. Masih banyak buku lain yang lebih berhak. Moga Allah selalu memandu langkah kita dan pilihan kita.

.

~ berhati-hati dengan waktu lapang

..

ar-rumaisa

Shah Alam

15 Dzulhijjah 1429H

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: