Skip to content

Selamat Merayakan Ramadhan

August 25, 2009

“Yes Ramadhan tomorrow inshaAllah.”
basketball-courtBegitulah bunyi SMS dari Syeikh Khalid, iaitu Imam kami di Galway. Lantas SMS itu diforwardkan ke merata-rata tempat dengan seberapa segera pada malam itu. Begitu saja pengumuman bermulanya Ramadhan kami di bandar kecil Galway, Ireland ini. Kami tidak ada masjid. Kami juga tidak ada penyimpan mohor besar diraja buat pengumuman di mana-mana tv dan radio Ireland. Jadi ukhuwah SMS lah pengikatnya, cara sebaran beritanya. Namun alhamdulillah, terbukti kami tiada masalah connection breakdown kerana keesokan harinya, umat Islam Galway baik yang berasal dari Malaysia, Sudan, negara-negara Arab, Pakistan dan Nigeria dll, berjaya memulakan puasa. Maknanya, berita kedatangan Ramadhan itu berjaya disebarkan kepada seluruh umat Islam Galway melalui SMS, dalam tempoh 1 malam. Keesokan malamnya pula, sama seperti tahun-tahun lepas, terawih pun dimulakan di atas gelanggang basketball. Berkumandang suara Syeikh Khalid yang sayu mengalunkan surah-surah. Tiang gol basketball itu menjadi saksi saban tahun perhimpunan kami di setiap malam Ramadhan untuk terawih dan juga setiap pagi pertama Aidilfitri serta AidilAdha.

.

Tahun ini Ramadhan jatuh ketika Summer. Ertinya, siangnya lebih panjang daripada malam. Fajr bermula pukul 4.00 pagi dan Maghrib jam 9.00 malam. Alhamdulillah. Sesungguhnya Allah tidak menetapkan Ramadhan sentiasa pada musim tertentu sahaja. Jatuhnya Ramadhan berubah-rubah pada kalendar kita setiap tahun. Hikmahnya, mungkin agar kita tidak tertumpu pada musim dan waktu hadirnya Ramadhan itu, tetapi lebih fokus kepada isi dan penghayatan Ramadhan itu sendiri.
duskSegala puji bagi Allah yang menentukan kedatangan Ramadhan ketika musim panas, ketika siangnya lebih panjang, agar kita lebih mengenal erti mujahadah, lebih lama puasanya, lebih lama menahan nafsu, agar lebih besar pahalanya. Setinggi-tinggi syukur juga bagi Allah yang mengkehendaki Ramadhan berkunjung ketika musim sejuk, ketika malamnya lebih panjang, agar mudah kita bangkit bertahajud, puas kita sujud, menangis, bertaubat dan berkhalwat dengan Allah dalam qiamulail kita, hingga aneh sekali kalau masih terlepas sahur.

.

“Oh poor girl, you must be dehydrated and exhausted!” kata jururawat Irish itu.
Tidak cukup lagi rupanya usaha saya, semangat saya dan senyuman saya. Adakah orang-orang Irish ini masih nampak saya kelihatan tidak bermaya? Atau itu hanya kata-kata dari sangkaan mereka saja kerana mengetahui sekarang ini bulan umat Islam berpuasa? Saya sedang berikhtiar untuk memantapkan prestasi kerja, berakhlak lebih baik, bersabar dan memaniskan wajah sentiasa, supaya tiada alasan bagi mereka menuding jari atau bersangka doktor muslim kurang produktif, kurang ceria, kurang cergas.. “because they are fasting”. Tidak. Saya tidak akan mengizinkan ucapan seperti itu! Usah kita mengiyakan dan menyokong anggapan mereka. Para sahabat dulu siap pergi perang dan menang pulak, dalam berpuasa Ramadhan – perang Badar, perang Hitthin, perang Ain Jalut.
Maka janganlah kita lebih masam, lebih garang, lebih cepat marah, lebih malas, lebih longlai, lebih lembab, lebih beralasan, kerana kita orang yang sedang dalam kelaparan. 
Sebaliknya saya menyeru kepada saudara-saudara seiman sekalian, sepanjang Ramadhan ini, untuk menampilkan imej yang luar biasa lebih baik, lebih sabar, lebih tenang, lebih pemurah, lebih pemaaf, bahkan lebih efficient juga dalam kerja dan study, kerana kita orang yang sedang dalam ibadah.

.

Ingat-ingatlah kedudukan puasa dalam fikiran kita. Syeikh Al-Maududi menyebutkan bahawa tujuan Islam yang sebenarnya adalah untuk menjadikan seluruh kehidupan manusia ini sebagai ibadat kepada Allah. Maka dasar Allah mewajibkan solat, puasa, zakat dan haji itu semuanya hanyalah sebagai latihan yang bertujuan supaya kita merasa bahawa kita ini hamba kepada Tuhan, agar kita akhirnya mengerti bahawa seluruh hidup ini adalah demi Tuhan, untuk Tuhan, walaupun di luar waktu solat, atau di luar bulan Ramadhan. Malang sekali mereka yang gagal memahami konsep ini walaupun telah melaksanakan amal-amal fardhu itu tadi. Maka lebih sukarlah bagi mereka yang tidak mendirikan amal fardhu untuk memahami hakikat kehidupan. Kerana itu baginda Rasulullah s.a.w. telah menegaskan:

“Betapa banyak orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa kecuali hanya lapar dan dahaga semata.”

.

Kita tahu adik-adik kecil kita juga sudah mulai berpuasa. Ayuh muhasabah apa beza puasa mereka dengan puasa kita? Pada usia ini, Shaum (puasa) kita mestilah ada nilai tambahan, additional value. Bagaimana? Hendaknya mata, telinga, lidah, tangan, kaki dan hati kita ikut berpuasa. Ianya cukup sulit untuk dilaksanakan kerana Shaum ini adalah sejenis ibadah yang tersembunyi. It is a secret between you and Allah.

.

Di sini juga saya ingin menyenaraikan amalan-amalan asas untuk mengisi Ramadhan, untuk ingatan diri sendiri dan buat manfaat kawan-kawan yang saya kasihi.

1. Shaum (puasa) – seperti yang diceritakan di atas

.

2. Sahur
Ia bukan pengganti sarapan, bukan juga penambah makan malam, tetapi adalah ibadah. Sabda Rasulullah:
“Sahurlah, kerana dalam sahur itu ada barakah.”
(Hadith riwayat Bukhari & Muslim) 
Siapa yang tidak mahu barakah bulan Ramadhan? Jadi apa cerita pun, ngantuk macam mana pun, kena bangun sahur juga!

.

3. Iftar (buka puasa)
Dari Anas bin Malik r.a. : Rasulullah s.a.w. berbuka puasa sebelum solat Maghrib dengan 3 biji kurma segar, jikalau tiada, baginda akan memakan 3 biji kurma kering. Jikalau tiada, baginda akan minum 3 teguk air putih. (Hadith riwayat At-Tirmidzi).
Itu yang Rasulullah lakukan, dan makan beratnya kemudian setelah solat. Jangan lupa berdoa ketika berbuka puasa, kerana
Dari Abdullah bin Amru bin Al-As r.a. bahawa beliau mendengar Rasulullah saw bersabda:“Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa, ketika saat dia berbuka puasa, doanya TIDAK AKAN DITOLAK oleh Allah”. (Hadith Sunan Ibnu Majah)
Minit-minit terakhir sebelum berbuka itu adalah waktu-waktu yang sangat mahal, ketika doa mustajab dan permintaan dipenuhi, seperti keajaiban waktu sahur. Rasulullah juga banyak menekankan berbuka hendaklah disegerakan.

.

4. Tarawih
Perkataan ini berasal dari akar kata “raaha-yaruuhu-raahatan-watarwiihatan- yang bermaksud rehat, istirahat, santai. Maka solat ini hendaklah dilaksanakan perlahan-lahan, dengan khusyuk dan penghayatan serta dalam keadaan santai-santai, bukan secepat kilat hendak mengejar target rakaat! Kita umat Islam mesti berani mengevalusi diri dalam pelaksanaan solat terawih. Sudah lama kita belajar solat terawih dalam hidup kita, tetapi perasaan khusyuk menikmati kerehatan jiwa dalam terawih itu belum juga meresapi. Belum juga merasai kemanisan  ketenangan bermunajat kepada Allah.

Bagaimana tarawih Rasulullah? 
Baginda solat tarawih, di rakaat pertama setelah beliau membaca surah Al-Fatihah, beliau membaca surah Al-Baqarah sampai selesai. Para sahabat menyangka baginda akan ruku’, namun baginda meneruskan membaca surah Ali-Imran sampai selesai. Para sahabat kembali mengira baginda akan ruku’, namun kembali baginda membaca pula surah An-Nisa’sampai selesai, barulah baginda ruku’. Lamanya tempoh ruku’, iktidal dan sujud baginda adalah seperti lamanya baginda berdiri rakaat pertama. Subhanallah! Tentu kita tidak sekuat Rasulullah s.a.w, namun yang kita teladani dari baginda adalah caranya, dengan thuma’ninah, khusyuk dan penuh tadabbur.

.

5. Tilawah Al-Quran
Rasulullah s.a.w. bertilawah Al-Quran bersama malaikat Jibril pada setiap malam dalam bulan Ramadhan. Kita mesti meningkatkan kuantiti dan kualiti masa yang kita habiskan dengan Al-Quran di bulan ini. Bacalah dengan hati nurani dan hayati terjemahannya. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.. setinggi-tinggi syukur saya panjatkan kepada Allah, kerana memberi petunjuk yang sangat banyak kepada saya ketika sedang tilawah Al-Quran Ramadhan kali ini. Ada saja ayat yang saya temui yang terasa seolah-olah ayat itu memang sedang ditujukan khas untuk saya! Kena-kena aje. Macam tahu-tahu aje apa yang sedang dialami. Tapi, memang Allah Tahu pun! Sungguh, terasa Allah sedang berbicara dengan diri ini melalui ayat-ayatNya di dalam Al-Quran itu…….
segala puji bagiMu ya Allah! ampuni daku…

.

6. Sedekah
Perbanyakkan memberi, baik banyak atau sedikit, sumbangkan juadah iftar dan bersedekahlah walau apapun. Sifat dermawan Rasulullah saw di bulan Ramadhan dikatakan lebih pantas dari angin yang bertiup, sepertinya tidak takut miskin.

.

7. Solat malam
Rasulullah s.a.w. mengejutkan isteri-isterinya dan kerabatnya untuk menghidupkan malam-malam istimewa, mulia dan mahal ini. Kalau Rasulullah sampai sanggup mengejutkan seisi rumah baginda, takkan pula kita yang tidur saja. Moga rumah-rumah orang Islam menyala lampu-lampunya setiap malam Ramadhan, sehingga kagumlah umat lain di dunia dengan kepelikan fenomena Ramadhan. Ini belum kita bicara lagi soal Lailatul Qadr.

.

Banyak lagi amal-amal lain yang tidak saya sebutkan. Jemputlah kawan-kawan pula yang menambah senarainya. Moga Allah beri kita kekuatan, kerajinan dan keikhlasan untuk bekerja menuai nikmat-nikmat Allah di ladang Ramadhan yang luas dan ranum ini. Siapa yang malas, dia yang rugi. Siapa yang rajin, manisnya dia yang rasa. Biidznillah. Selamat Merayakan Ramadhan. Allahu’alam.

.

ar-rumaisa
5 Ramadhan 1430 Hijriah

(rujukan: Riyadhus Solihin, Dasar-dasar Islam, risalah Ramadhan IM, Dakwatuna)

4 Comments leave one →
  1. hambaNya permalink
    August 26, 2009 3:32 am

    jzkk entry yang bermanfaat insyaAllah

  2. August 26, 2009 12:36 pm

    Salam Ukhti.

    Tulisan anti amat terkesan. Jazakillah.

    Memang inilah realiti kehidupan sebahagian dari kita yang dah larut dengan budaya ‘meletihkan Ramadhan’ hingga syiar Ramadhan itu nampak negatif di kalangan masyarakat, justeru motivation ini harus digembar-gemburkan melalui media massa especially di TV untuk kesedaran masyarakat.

    Ini saja jalan yang ada.

    Kerapkan menulis agar idea-idea anti dapat dimanfaatkan. TQ

  3. August 27, 2009 4:58 am

    Subhanallah

  4. Aisha Ismail permalink
    September 6, 2009 6:56 am

    salam…

    Dik, t ksh..I like your entri sesuai dgn pemikiran masa kini. Cuma minta tolong sikit ttg problem hadi/bleeding/spotting kerana penggunaan implanon ni yang tak menentu. cmna nak tentukan pasti kita haid atau x sbb dia x ada pattern atau warna yg pasti.

    thank you..jkk

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: