Skip to content

Ya Tuhan kami..

December 29, 2010

Semenjak undangan walimah diumumkan, 3 minggu menahan usikan kawan-kawan dan 1 minggu menahan usikan sanak-saudara setelah pulang ke malaysia… akhirnya disusuli dengan sebuah pernikahan yang manis. Namun, usikan tetap tidak habis-habis juga. Aduisy!

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah Yang Maha Agung, yang telah mengizinkan segalanya, dan mengurniakan amanah yang cukup istimewa di bahu hambaNya yang kerdil ini.

.

6 bulan tempoh pertunangan yang terasa penuh cabaran dan ujian. Istikharah dan istisyarah, serta doa yang tidak berkesudahan dipanjatkan, memohon kebaikan dunia akhirat di atas pilihan yang dibuat. Ketika itu, ada masanya jiwa merasa begitu tenang dan damai. Namun, tidak jarang juga hadir perasaan berkecamuk dan bimbang yang tidak dapat ditenangkan, melainkan dengan meninggikan tawakal yang melangit kepadaNya, menanam dalam-dalam keimanan bahawa Allah lah sebaik-baik perencana. Alhamdulillah, walau saling tidak mengenali sebelum akad nikah, sebenarnya telah banyak perkara yang bersatu, kerana seiring sejalan mengimani kepentingan redha Allah dalam setiap urusan. Syahdu mengenangkan ungkapan seorang syuyukh, Allahyarhamah Zainab Al-Ghazali; “Aqidah had bound us together, before marriage had.”

.

Antara nasihat yang paling melekat dalam sanubari, ialah pesanan seorang Makcik, seorang murabbi yang sangat dikasihi. Dibacakannya kepada saya ayat ini :

“Wahai orang-orang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuha. Mudah-mudahan Allah menghapuskan kesalahan-kesalahanmu dan memasukkanmu ke dalam syurga..” (Surah At-Tahrim : ayat 8 )

Pesan beliau berkali-kali, untuk saya bertaubat nasuha, kerana kebersihan hati dan kedekatan dengan Allah itu adalah bekalan yang terbaik. Moga Allah mengampuni kesalahan-kesalahan yang lalu, kerana semua itu ada sahamnya. Sesungguhnya Mawaddah wa Rahmah itu adalah pemberian Allah SWT. Kebahagiaan itu adalah kurniaan Allah. Maka mintalah dari Dia. Justeru, tidak sedikit doa yang diwajibkan saya hafal oleh Makcik, sebelum bergelar isteri. Dan beliau menguji dan menguji saya lagi untuk memastikan saya sudah menghafal doa-doa itu. Terima kasih, Makcik. Semoga Allah membalas dengan sebaik-baik ganjaran jasamu.

.

Perkahwinan ini satu ibadah. Segalanya adalah demi membuktikan Allah itulah cinta nombor satu kita. Tiada yang pertama selain Dia. Pernikahan ini adalah satu pembuktian, satu komitmen kepada syariat Allah, sepertimana dilaksanakan oleh ar-Rasul terdahulu. Dengan nama Allah, akad itu dijalin. Dengan nama Allah, ikrar itu terpatri. Dengan nama Allah, cinta itu bermula. Semuanya atas nama Allah. Allah Tuhan kami.

.

“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan zuriat kami sebagai penyenang hati kami, dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Surah Furqan : ayat 74)

Ayat Al-Quran ini mengungkapkan dalam satu doa yang sama, doa untuk keluarga yang menyenangkan hati serta doa untuk menjadi Pemimpin kepada manusia Muttaqin (bertaqwa). Terasa besarnya doa ini dan amanah di dalamnya.

.

Walimah juga ada tarbiyyahnya tersendiri. Bersilaturrahim dengan sanak-saudara dan menurut kehendak adat Melayu mana yang boleh. Semoga walimah itu menjadi salah satu medan dakwah bagi kami. Semoga perkahwinan ini telah berjaya menyampaikan pesan yang kuat kepada keluarga dan hadirin, walaupun tidak diungkapkan dengan kata-kata. Semoga Allah mengampunkan kekhilafan kami, dan menerimanya sebagai amal yang ikhlas.

“Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang berserah diri kepadaMu dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami umat yang berserah diri kepadaMu dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara ibadah kami, dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.” (Al-baqarah : ayat 128)

.

Bahtera rumahtangga pun memulakan pelayarannya yang jauh. Ia menjadi satu medan untuk beramal, untuk berkasih-sayang, untuk membina diri, untuk mencari kekuatan, untuk mengutip pahala. Semoga kekal bahtera itu dalam keredhaan Allah SWT. Dengan rahmatNya, mudah-mudahan dua orang nakhoda itu akan tetap kompasnya, mengemudi sehingga selamat sampai ke destinasi akhir yang diimpi-impikan, syurga Allah Taala dan berbahagia di sana.

“Ya Tuhan kami, kami telah beriman, maka ampunilah kami dan berilah kami rahmat, dan Engkaulah sebaik-baik Pemberi Rahmat.” (Surah Al-Mukminun : ayat 109)

.

Ameen.

.

ar-rumaisa
23 Muharram 1432 H
Galway

3 Comments leave one →
  1. December 30, 2010 12:04 am

    tahniah buat hanim n pasangan… moga ibadah ini hingga hujung nyawa.. amin..

  2. madia permalink
    January 14, 2011 2:30 pm

    tahniah buat kak hanim n pasgn …🙂

  3. Wani permalink
    January 19, 2011 11:09 am

    Assalamualaikum wbt…

    Tahniah kak hanim & abg zul. Smg kalian sentiasa b’ada di dalam redha Allah…
    BarokallahufiQ~

    Gambar kahwin akak sgt comel… Sy tgk di http://rudyazwan.com/blog/

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: