Skip to content

treat the Cause,not the Symptoms

January 22, 2011

Treat the cause, not just the symptoms.
Ia antara konsep asas dalam bidang perubatan. Semua doktor telah ditekankan, dididik sejak awal untuk memahaminya.

.

Jikalau seseorang mengadu sakit dada, maka sudah tentulah tidak memadai dengan memberinya ubat tahan sakit sahaja hingga pesakit itu boleh senyum semula, kemudian menghantarnya pulang. Itu perbuatan doktor tidak bertauliah (akan disembelih oleh Consultant semasa ward round!). Tidak mustahil pesakit itu akan kembali dengan keadaan yang lebih teruk, sakit yang berganda atau mungkin sudah terlewat untuk diselamatkan. Tidak dapat tidak, mestilah disiasat punca kesakitannya – adakah disebabkan oleh masalah jantung (cardiac), atau masalah paru-paru/pernafasan (respiratory), atau berpunca dari tulang/otot di dadanya (musculoskeletal).

.

Untuk mengenalpasti punca, memerlukan pemerincian, kesabaran, kefahaman, cara dan pendekatan yang tepat lagi berhikmah.  Dalam senyuman, doktor itu harus bijak dan peka… ‘membaca’ kerutan di dahi, titisan peluh, gerak-geri, susunan bantal, posisi, pucatnya wajah, panjang pendeknya nafas dan pelbagai lagi perkara yang tidak terucap di bibir pesakit, juga tidak tercerita oleh keluarga. Kita doktor tidak boleh hentam keromo. Jika tidak, kita sepertinya tikus membaiki labu! Apapun, tanggungjawab adalah kewajipan. Tugas adalah amanah. Tenang atau takut, kita mesti berikhtiar sehabisnya. Kita tidak boleh lari lepas tangan. Kalau tak tahu, wajiblah bertanya, minta bantuan dari yang lebih pakar. Allah sedang memerhati usaha kita.

.

Seperti itu jugalah…

Arena dakwah kita yang berdepan dengan masalah umat dan isu-isu dalam masyarakat. Kalau kita baca berita-berita Malaysia mahupun berita dunia, kita jadi serabut dan pening kepala. Kenapalah ada guru merogol pelajar? Kenapa pemuda 15 tahun membunuh yang 13 tahun? Baru-baru ini wujud pula parti yang tanpa segan-silu terang-terangan mengaku sekular. Terasa manusia hari ini semakin gila dan tiada pedoman. Namun bukan kita untuk menuding jari. Kita sebagai intelek muda Muslim yang mempunyai pemikiran dan kesedaran Islam, mesti bijak dan peka, memerhati dan ‘membaca’ dengan neraca Islam. Yang mana teraju, yang mana mangsa keadaan.Yang mana punca, yang mana kesan.

….

Sekiranya ada sahabat yang tidak menutup aurat, barangkali bukan kain tudung dan fesyen yang menjadi soal, bukan sebab cuaca panas, bukan sebab tidak sesuai dengan majlis. Sebenarnya ia soal iman, kefahaman, keyakinan, isu identiti diri dan jatidiri muslim. Menambah fesyen-fesyen dan jenis-jenis kain tudung serta jubah yang cantik, bergaya dan lebih menawan di pasaran bukan satu solusi konkrit. Ia seolah melayan memberi ubat tahan sakit sahaja, kepada pesakit tadi, tanpa mengetahui apatah lagi merawat punca asal penyakit. Benar, semua ini adalah galakan untuk berpakaian lebih sopan, namun masalah masih belum selesai. Jika tiada usaha menanam dan meningkatkan kefahaman tentang hakikat konsep hijab, arus busana muslimah ini akan tercemar dengan perkara-perkara yang tidak sejahtera dan tidak soleh, atau lebih tidak kita ingini, sekadar berlalu pergi seperti mana arus fesyen lain.

.

Saat tanahair yang tercinta dihadapkan dengan krisis buang bayi dan pergaulan bebas, pengedaran kondom percuma yang kononnya untuk mencegah AIDS dan anak luar nikah oleh sesetengah pihak adalah umpama tikus membaiki labu. Pembinaan sekolah khas dan rumah kebajikan untuk ibu mengandung luar nikah adalah satu usaha, tapi ia adalah jangka pendek. Ia ikhtiar murni untuk menampung akibat kerosakan yang telah melanda. Barangkali yang tidak cukup ialah perasaan malu kerana taqwa dari awal, malu untuk berpakaian tidak soleh, malu dengan yang berlainan jantina, malu kalau tidak berakhlak, malu pada manusia dan malu pada Allah... bukan sekadar malu masuk kamera kemudiannya.

.

Kalau pemuda-pemudi yang pandai akademik jurusan itu dan ini, tapi cacat akhlaknya dan amalnya, maka kita harus mengerti bahawa ada title Ustazah bukan jaminan dia mesti solehah. Ada title Dr tidak gerenti dia mesti sihat. Ada title Cikgu tidak bermakna dia pandai didik anak. Kita mesti faham, untuk tidak menuding jari menyalahkan gelarannya sesuka hati. Isunya bukanlah tidak tahu atau tidak cukup ilmu, tapi mungkin tidak faham dan tidak sedar. Itu semua berbeza.

.

Kalau ada muslim yang sudah mengamalkan ibadah asas islamnya, tetapi dia tidak bergerak berdakwah, tidak fikir tentang kesejahteraan iman orang lain, mungkinkah kerana belum merasa kepentingan dakwah? belum mengimani tanggungjawab? tiada kekuatan? tidak semangat? tidak reti? tidak ada sokongan?

.

Kesemuanya adalah kemungkinan yang memerlukan perhatian, pemerincian, kesabaran, cara dan pendekatan yang tepat lagi berhikmah. Apapun, bukan kita untuk cepat melatah. Bukan kita untuk berundur, apatah lagi berputus-asa. Walaupun perit, kita tidak boleh lari, seperti mana seorang doktor yang tidak boleh lari dari pesakitnya. Kerana dia Doktor. Seperti itulah kita tidak boleh lari dari masalah umat kita sendiri. Kerana kita Muslim. Benar, kerja dakwah ini tidak seperti kerja doktor. Tiada orang bayar gaji. Kalau lepas tangan, tidak ada orang saman. Kalau cuai, tidak ada orang mati. Namun yang bakal menanggung akibatnya adalah diri kita sendiri, kaum kita, generasi kita, zuriat kita dan umat kita. Mati bukanlah perkara terburuk. Lebih teruk lagi ialah manusia hidup yang sesat dan rosak, tenggelam dalam lautan keingkaran kepada Allah. Dan kita sebagai Muslim bertanggungjawab ke atas mereka.

.

Treat the cause, not the symptoms.
There is no point of just mopping the wet floor, but leave the roof leaking.

.

Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran, dan berilah kami rezeki untuk mengikuti kebenaran itu.

.

ar-rumaisa
18 Safar 1432 Hijriah
Galway

One Comment leave one →
  1. January 25, 2011 8:24 am

    salam,tahniah selamat pengantin baru.moga bahagia dunia akhirat.
    saya baru sahaja pergi program ISK(Ini sejarah kita)..
    sejarah islam dari zaman jahiliah hingga kejatuhan..kalau nak dibandingkan zaman sekarang ni..kita seperti lagi teruk dari zaman jahiliah.maka waktu tu..kalau nak bangunkan islam,kerja dakwah dalam perkuatkan tauhid dalam hati kita adalah kerja utama.bila masyarakat dah kuat pegangan akidah barulah boleh flow untuk sambut kegimilangan seterusnya…wallahualam

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: