Skip to content

Si Sopak, Si Botak & Si Buta

July 14, 2011
tags: , ,

Saya yakin ramai yang pernah mendengar kisah ini. Baru-baru ini ia diceritakan semula kepada saya, dan saya mendapat sesuatu yang berharga daripada kisah ini. Maka sukalah saya untuk berkongsi..

Pada suatu hari Allah memerintahkan malaikat bertemu dengan 3 orang Bani Israil. Ketiga-tiga mereka cacat – seorang botak, seorang sopak dan seorang lagi buta. Malaikat yang menyerupai manusia itu bertanya Si Sopak “Jika Allah hendak kurniakan sesuatu untuk kamu, apakah yang kamu mahu?”

Si Sopak menjawab, “Kulit yang halus dan sihat daripada penyakit ini. Aku juga inginkan unta supaya aku dapat menternaknya nanti.” Malaikat menyapu kulit Si Sopak dan dengan izin Allah, kulitnya sembuh. Dia diberikan seekor unta yang bunting.

.

Kemudian malaikat menemui Si Botak dan bertanya soalan yang sama. Si Botak menjawab, “Aku inginkan rambut yang lebat tumbuh. Aku juga inginkan lembu untuk dipelihara.”. Dengan kurnia Allah, Si Botak itu kembali berambut dan diberikan lembu yang akhirnya membiak dengan banyak.

.

Selepas itu malaikat bertanya Si Buta pertanyaan yang sama. Si Buta menjawab, “Aku hendak mataku yang buta ini dicelikkan semula.” Dengan takdir Allah, mata Si Buta menjadi celik. Si Buta pula meminta kekayaan berupa kambing, dan kambingnya juga sihat dan membiak.

.

Selang beberapa lama, Allah memerintahkan semula malaikat untuk berjumpa dengan ketiga-tiga orang itu. Kesemua mereka sudah kaya-raya dengan ternakan yang memenuhi ladang. Malaikat menemui setiap seorang dari mereka dengan menyamar sebagai pengemis yang sopak/botak/buta, mengikut keadaan asal mereka.

.

Malangnya, malaikat yang menyerupai pengemis sopak itu telah diherdik dan dihalau oleh Si Sopak kerana jijik. Malaikat berkata, “Aku kenal kamu. Dulu kamu sopak dan miskin. Allah telah menolongmu.” Si Sopak tidak mengaku. Dengan kuasa Allah, Si Sopak yang sombong itu bertukar menjadi sopak semula dan bertukar menjadi miskin. Si Botak juga lupa diri dan menghina malaikat yang menyamar itu, lalu dengan takdir Allah, kepalanya botak semula dan dia kembali miskin.

.

Malaikat berjumpa pula dengan Si Buta yang telah diberikan penglihatan. Apabila malaikat itu mengemis sebagai seorang yang buta, Si Buta berkata, “Dulu aku seorang yang buta, dan Allah telah menyembuhkan mataku. Maka ambillah apa sahaja yang engkau redhai dari hartaku ini buat bekalmu.” Malaikat tidak mengambil pemberian itu, lantas memberitahu bahawa dialah malaikat yang pernah datang suatu ketika dahulu. Kedatangannya kali ini ialah untuk menguji siapa di antara mereka bertiga yang bersyukur. Malaikat memaklumkan Si Buta, bahawa Allah hanya ingin mengujinya, dan dia telah diredhai atas kesyukurannya.

.

*********

Ya, kisah ini mengajarkan kita tentang kesyukuran. Bahawa Allah meredhai mereka yang bersyukur dan akan menambah kurniaNya.

Namun, siapakah Si Sopak, Si Botak dan Si Buta itu?

Sedarkah kita…
Kitalah Si Sopak, Si Botak dan Si Buta.
Dahulunya kita tiada apa-apa. Kita hanya ada tangan kosong.

.

Lantas Allah telah memberi kurniaNya kepada kita. Allah telah memberikan kita kekayaan yang banyak. Allah berikan kita nikmat Islam. Allah berikan kita ibu & ayah. Allah meminjamkan kepada kita sedikit ilmuNya. Allah berikan kita segulung ijazah. Allah berikan kita pekerjaan. Allah juga mengurniakan kita pasangan yang baik. Allah berikan rumah, kereta dan anak-anak. Tidakkah melimpah-ruah kurniaNya pada kita sampai ketika ini?

“Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang engkau dustakan?” (Surah ar-Rahman : ayat 13)

.

Maka setelah itu, siapakah kita sekarang? Si Sopak, Si Botak atau Si Buta?

Harusnya, jika kita manusia yang bersyukur kepada TuhanNya, kepada dakwah inilah kita membayar, membuktikan kesyukuran itu. Kita berikan kepada dakwah ilAllah (dakwah kepada Allah) ini segala-galanya dari kenikmatan yang Allah pinjamkan kepada kita, sepertimana Si Buta yang kaya itu telah berkata kepada sang pengemis, “Ambillah apa saja yang engkau redhai daripada hartaku ini.”

.

Harusnya, kita curahkan masa, tenaga, fikiran, perasaan, idea, harta, duit, kereta, rumah, pangkat hatta nyawa  kepada dakwah ini supaya dakwah ini dapat mengambil dari kita, apa saja yang ia sukai… dan bukan sekadar saki-baki. Kita gunakan semua yang kita ada dalam hidup ini, untuk menyeru manusia kepada Allah Subhanahu wa Taala. Semua yang kita ada, tanpa kecuali. Apa sahaja bahan-bahan yang diperlukan dalam resepi untuk menarik manusia kepada Allah, akan kita sediakan. Ingatkah kita, seperti itulah Ummul Mukminin, Saidatina Khadijah r.a.?

.

Kalau kita bersyukur, buktikan dengan amal. Bukan sekadar ucapan, bukan sekadar Alhamdulillah di bibir, bukan sekadar brainstorming, bukan sekadar rancang, tetapi tunjukkan dengan amal.

“..Beramal lah wahai keluarga Daud sebagai bukti kesyukuran..” (Surah Saba’ : ayat 13)

.

Semoga kita menjadi orang yang mendapat keredhaan Allah, sepertimana Si Buta dahulu, dan ditambah lagi pula kurnia Allah kepadanya. Alangkah bahagia.

.

ar-rumaisa
13 Sya’ban 1432 Hijriah
Waterford

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: