Skip to content

qudwah

August 9, 2011

Saya bertemu dengan keluarga itu pertama kalinya ketika menghadiri satu undangan jamuan di rumah jiran, lebih kurang seminggu sebelum Ramadhan. Melihat satu tempat duduk kosong, saya pun membawa pinggan saya, duduk dan meramahkan diri menyapa wanita Pakistan berbaju merah di sebelah. Nuzhat namanya. (First impression : makcik ni muka serius je). Sebaik sahaja saya menegur, terus dia senyum dan oh ramahnyerr. Seronok sembang. Kenal-kenal, tanya itu ini dan akhirnya bertukar nombor telefon.

.

Tahun ini pertama kalinya sejak bertahun-tahun, saya berpuasa bukan di Galway. Pertama kalinya, puasa bukan dalam kesibukan bekerja di hospital sebagai doktor, tapi dalam ketenangan di rumah baru berkhidmat sebagai suri. Pengalaman baru =)

.

1 Ramadhan, 3.30 pagi – umat Islam Waterford, Republic of Ireland memulakan puasa, dan berbuka jam 9.30 malam. Petang itu, saya dan suami menerima SMS dari Haseeb, anak lelaki Nuzhat, memaklumkan Terawih bermula jam 11.00 malam di dewan komuniti. (Waterford takde masjid). Bulan Ogos 2011 ialah waktu Summer, yang mana siangnya panjang & malamnya pendek. Alhamdulillah, semoga kami dapat pahala lebih sebab puasa lama. Teringat tahun-tahun dulu, Ramadhan di musim Winter – puasa sekejap sangat kerana siangnya pendek & malamnya pula panjang – maka tiada alasanlah untuk tak bangun qiamulail kan. Kesimpulannya semua pun bagus! Khayr! Segala ketetapan Allah itulah yang terbaik. Tiada apa yang lebih baik. Ramadhan ketika Summer ke.. Winter ke.. dua-dua pun OK.

.

al-Hafiz

11.40 malam – pulang dari Terawih, suami saya bercerita, yang jadi Imam solat Terawih tadi ialah Haseeb! MashaAllah, anak Nuzhat yang usianya 16 tahun itu. Jumaat berikutnya, yang mengimami solat Jumaat pun Haseeb juga. Rupanya Haseeb itu al-Hafiz Quran, sejak umurnya 12 tahun. Untuk menjaga hafazan Qurannya, Haseeb mengaku mengulangkaji al-Quran 1 hingga 3 juzuk sehari. Terasa hebat sungguh, seorang anak muda keturunan Pakistan yang membesar di bumi Ireland yang tiada sekolah Tahfiz ini, dapat jadi seorang Hafiz Quran, selain dari mengekalkan jatidiri Muslimnya.

.

“Ilmu itu Nur (cahaya), yang tidak dikurniakan Allah kepada orang yang gelap hatinya dengan maksiat.” kata Imam Syafie.
Justeru, jika ilmu adalah cahaya, apatah lagi jika ilmu itu ialah ayat-ayat al-Quran, wahyu firman Allah Yang Maha Tinggi lagi Terpuji – pastilah menuntut seseorang yang menyimpannya di dalam dada, untuk berakhlak mulia, bersih hati dan berjati diri Muslim. Tidak mudah di dunia barat ini untuk sedemikian. Maka saya dapat memahami bahawa, sudah tentulah biah solehah itu disediakan, dibina di dalam rumah Haseeb sendiri, oleh didikan ibu bapanya yang cemerlang. Suasana keluarga yang menjaga kemurnian hati, yang penuh kasih sayang dan membaja semangat beribadah dalam diri. Di bumi Ireland, semua ini tidak diperolehi di luar rumahnya, di sekolahnya, atau dalam masyarakat.

.

Pernah sekali Imam Syafie mengadu kepada gurunya, “kenapa saya susah untuk menghafal?”
Lantas dijawab “berhentilah berbuat dosa.”
Sedangkan yang bertanya itu adalah Imam Syafie! ..yang memang baik dan soleh, tapi dijawab begitu oleh gurunya. Aduh.. seakan satu tamparan buat diri saya.

Apakah yang selama ini kita faham tentang menuntut ilmu?

Rupanya jalan paling utama untuk cemerlang dan berprestasi tinggi dalam akademik (atau apapun yang kita ceburi), adalah dengan memelihara diri dari dosa, di samping ketekunan berusaha. Sudah cukupkah kita menitikberatkan aspek ini dalam tips-tips belajar kita? Kerana ilmu dan hikmah itu secara mutlaknya adalah milik Allah, yang dikurniakan kepada siapa yang Dia kehendaki.

.

Cerita Nuzhat, Haseeb nak jadi doktor seperti ayahnya. Saya dapat mengagak dia pelajar cemerlang di sekolah berdasarkan keyakinannya untuk masuk ke sekolah perubatan. Haseeb bercerita kepada saya, dia sudah target universiti mana yang ingin dia masuki. Seorang anak muda yang berkarisma dan berkeyakinan apabila berbicara. Kalau tidak, masakan dia boleh mengimami solat terawih dan solat Jumaat umat Islam Waterford ini kan.

.

Baitud-Dakwah

7 Ramadhan – saya & suami menerima undangan berbuka puasa di rumah Nuzhat & suaminya, Dr Ali (doktor pakar kanak-kanak). Saya semakin berminat untuk mengenali keluarga ini dan memang excited untuk ke rumahnya. Di rumah Nuzhat, saya sempat kenal-kenal dengan saudara seislam lain, sebahagiannya dari Pakistan, Syria dan Sudan. Dr Ali turut menjemput Imam masyarakat Islam di sini, yang memberi tazkirah kepada para tetamu selepas makan. (Nuzhat masak memang best! Lepas ni nak gi menuntut). 

.

Selepas berbuka dan solat Maghrib di rumahnya, kami beramai-ramai gerak ke dewan komuniti untuk solat Isya’ dan Terawih. Yang hebatnya, ibu Nuzhat yang sudah sangat tua juga ikut ke dewan! Nenek itu memang bersemangat. Dia pun ikut datang berterawih bersama jamaah di dewan itu, solat sambil baring di atas tilamnya. Malulah orang muda sekalian!

.

Nuzhat pula (ibu Haseeb), setiap malam, dialah wanita pertama yang sampai ke dewan terawih itu, menguruskan tempat, membawa alas dan membentangkannya atas lantai untuk para makmum perempuan yang bakal datang. Sedangkan tiada siapapun yang lantik dia jadi AJK Surau kan. Semuanya atas inisiatif beliau sendiri. Sedih pula bila saya tidak terfikir pun untuk buat begitu. Saya datang Terawih melenggang saja.

Ini memang bukan calang-calang keluarga.

.

Saya terasa mendapat qudwah yang besar dari keluarga Pakistan itu. Begitu banyak mutiara-mutiara hikmah dan himmah yang saya kutip sepanjang perkenalan singkat saya & suami dengan mereka. Mereka sekeluarga telah memainkan peranan dalam masyarakat, menghidupkannya Ramadhan ini. Kita perlukan lebih banyak baitul muslim, keluarga dakwah seumpama itu untuk mewarnai dan mendidik jiwa masyarakat kita yang semakin kontang dari contoh dan nilai. Moga Allah merahmati dan memberi barakah pada keluarga itu. Moga jadi inspirasi buat semua.

.

Selamat beribadah.

.

ar-rumaisa
9 Ramadhan 1432 Hijriah
Waterford

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: