Skip to content

SuperHero Penyelamat Dunia

December 13, 2011

safeDulu masa kita kecik-kecik, ibu ayah itulah dunia kita. Kita merasa ibu ayah itulah ‘tempat’ yang paling selamat untuk kita, tidak kiralah apa jua bentuk ancaman di luar sana. Walau takut gerun ngeri macam mana sekalipun, bila ibu ayah ada di sisi…
Rasa tak takut dah.
Rasa selamat dah.
Berani dah.
Hebat dah.
Confident dah.
Come what may!
Datanglah apapun! Begitu lagaknya. Ibu ayahlah SuperHero Penyelamat Dunia kita..

.

Tak tahu apa-apa, semua tanya ayah. Nak cakap apa-apa, semua cakap kat mak. Apa jenis soalan pun, semua kepada keduanyalah tempat kita melonggokkan kemusykilan, dengan perasaan yakin & keteguhan iman bahawa ibu ayah superheromesti tahu. Mereka mesti boleh jawab. Apa masalah pun confirm akan selesai. Dan mereka memang tidak pernah jemu menjawab dan menyelesaikan, walau merepek macam mana pun soalan kita dan macam mana rumit pun masalah dunia kita. Saya masih ingat suatu malam sewaktu dalam kereta dalam perjalanan balik kampung, sambil memandang bulan di langit… saya bertanya,
“Ayah, kenapa bulan tu ikut kita? Pegi mana sume dia ikut!”

.

Physical support, emotional support, financial support…… semua pergantungan dan kepercayaan, 200% kita letakkan sepenuhnya kepada mereka. Fikiran gembira & cetek seorang kanak-kanak.

.

Menjejak alam dewasa, kita mula menyedari, ibu ayah tidak tahu segala perkara dalam dunia, ibu ayah juga punya perasaan risau & takut seperti kita, ibu ayah juga bukan manusia sakti yang boleh menumbuhkan duit dari pokok-pokok dan sentiasa kaya.

.

Lantas kita mula memahami erti pengorbanan. Mereka telah banyak berusaha, telah banyak menderita, telah banyak berhempas-pulas, demi untuk membahagiakan kita, sentiasa tersenyum untuk kita yang ketakutan, sentiasa tenang untuk kita yang kebimbangan, sentiasa berjimat untuk kita yang selalu meminta, selalu berpenat-lelah untuk kita yang banyak kerenah.

.

Semakin jauh kita melangkah, semakin dewasa umur kita, perlahan-lahan keadaan berubah. Pergantungan kita juga sudah beralih arah. Kita tidak lagi bergantung segala-galanya kepada ibu ayah. Kita sudah pandai berdikari. Kita sudah mula berdiri sendiri. Kita sudah ada kawan-kawan untuk emotional support. Kita sudah ada biasiswa atau gaji untuk financial support. Ada masalah apa-apa kita cuba handle sendiri. Lantas ada di antara kita mula merasa ’serba cukup’.

.

Ibu bapa pula kelihatan seolah-olah semakin hilang kewibawaannya. Mereka banyak tidak tahu perkara terbaru yang kita sudah tahu. Mereka mula banyak masalah dengan kesihatan. Mereka kadangkala bimbang dan tidak tenang. Sebahagian kita, duit pun lebih banyak dari mereka. Sungguhpun begitu, hakikatnya, kita orang muda ini hanya selalu berlagak pandai. Kita masih tetap memerlukan mereka, nasihat dan bimbingan, kerana mereka memiliki hikmah, pengalaman, ilmu, mereka lebih dulu ‘makan garam’.

.

Namun, tidak dinafikan, perlahan-lahan roda dunia kita mula berpusing. Kita menjadi tempat mereka meluahkan rasa dan kebimbangan. Tempat mereka bersembang waktu kesepian. Tempat mereka berharap. Tempat mereka menuntut belaian & kasih-sayang. Adakalanya mereka bertanyakan kepada kita tentang pendapat dan pandangan, tidak kurang juga dari segi kewangan.

.

Dengan rasa rendah diri dan setinggi-tinggi hormat, kita mula memberi. Dengan tekad akan terus memberi hingga ke akhir hayat. Memberi segala-galanya, kalau boleh, biarlah SEBELUM mereka meminta. Kerana mereka mungkin tak akan minta. Kita patut malu jika mereka sampai perlu meminta dari kita. Itu tandanya kita sebagai anak telah lalai. Walau kita mengorbankan nyawa pun untuk memberi, jasa mereka berdua masih belum berbalas.

.

Tapi, macam mana pula dengan diri kita? Kadang-kadang kita rasa lost. Rasa seolah sudah tidak ada lagi tempat bergantung sepenuhnya macam dulu yang kita ada masa kecil. Dah tak ada SuperHero Penyelamat Dunia kita lagi. Banyaknya masalah tidak selesai. Banyak soalan tidak ada jawapan. Banyak benda yang mesti fikir sendiri, tanggung sendiri. Lagipun memang masalah sendiri, sendiri yang cari.

.

Kerana itulah…

Sewajarnya, pertambahan usia mesti setanding & sejajar dengan pertambahan iman. This should be our wish & our Doa on every birthday. Di usia ini, kita patut sudah mengerti, bahawa Tempat Bergantung sepenuhnya bagi diri kita, di sepanjang hayat kita, adalah Allah Subhanahu Wa Taala.

“Allah tempat pergantungan segala sesuatu.” (surah Al-ikhlas : ayat 2)

.

Kerana Allah sajalah yang terpaling sayang kita, Allah yang paling kuat, Allah yang paling terer, yang paling tahu apa yang terbaik untuk kita, boleh menjawab semua soalan kita, boleh menyelesaikan semua masalah dunia kita, menolong kita dalam semua situasi dan sangat-sangat faham semua pergolakan jiwa dan perasaan kita.

Allah Yang Maha Kaya, Maha Bijaksana lagi Maha Perkasa itu… Dia juga Maha Penyayang, Maha Mendengar lagi Maha Mengabulkan Permintaan. So turn to NO other but Allah alone.

.

InshaAllah kita tidak akan rasa ‘lost’ lagi. Perasaan selamat, berani, hebat dan yakin yang pernah kita rasai semasa kanak-kanak itu akan kembali. Kita masih ada ‘Penyelamat Dunia’.

Come what may! Allah is with me. HE is my Availer, my Protector and the best of aid.

“Allah is sufficient for us! Most Excellent is HE in Whom we trust!” (Surah Ali Imran : ayat 173)

.

ar-rumaisa
~ on my birthday

Obsessed!

November 28, 2011
tags: , ,

Lumrah, setiap orang ada perkara yang dia suka, yang dia minat, yang menggembirakan hatinya, yang selalu mencuri perhatiannya. Ada orang suka itu, ada orang suka ini. Dan minat itu selalu diterjemahkan dalam pelbagai bentuk, kerana biasanya ia akan kelihatan, terzahir secara spontan, secerah matahari yang sukar disembunyikan. Lihat sajalah Facebook – dari info yang dikongsikan pada profile, hinggalah ke pilihan foto, kita akan dengan cepat dapat mengagak serba sedikit kesukaan seseorang. MashaAllah, differences make the world colourful.

.

Some of us are crazy about football, makan bola, tidur bola, obses betul dengan benda bulat itu. Others, like camera and take photos of almost anything and everything. Some ladies love pink, flowers, fashion and beauty. Me? I am a cat lover.

.

Alhamdulillah. Allah menjadikan kita semua berbeza-beza dengan keistimewaan dan minat yang tersendiri. Bila minat, obsessed, kita menjadi tidak kisah untuk bersusah-payah deminya, menghabiskan duit ke arahnya, meluangkan masa untuknya, pengorbanan menjadi ringan dan membahagiakan. Namun, ada satu perkara yang kita semua sangat berdoa supaya Allah mewujudkan minat itu, obsesi itu, kesukaan itu, dalam diri kita.

.

Kita mestilah minat pada Islam.
Suka pada Ad-deen ini. Cenderung kepada kebaikan. Biarlah hati kita selalu merasa terpanggil untuk hadir menyahut seruan hidayahNya bila-bila pun ia tiba, dalam apa jua bentuk pun ia sampai. Semoga kaki kita selalu merasa ringan untuk melangkah ke majlis-majlis seruan keimanan. Hendaknya telinga kita selesa dan biasa mendengar kata-kata yang menginsafkan, juga ayat-ayat cinta dari Maha Pencipta. Kita tidak rasa out of place di situ. Doa kita agar tangan kita tidak pernah lambat-lambat untuk mengeluarkan apapun harta, membayar berapa pun harga, demi meraih sesuap kefahaman Islam.

.

Kita juga mestilah taksub dengan Nabi Muhammad saw.
Mestilah minat sangat kepada baginda. Mahu taat dengan setiap satu suruhan baginda tanpa tertinggal. Mahu belajar lagi tentang diri dan kisah baginda, menambah lagi ilmu dan kefahaman kita tentangnya. Mahu ikut semua sekali ajaran baginda. Ingin buat segala apa yang baginda buat. Hatta melangkah masuk ke tandas pun kita ingin sentiasa memilih kaki kiri dahulu supaya sama dengan baginda! Begitulah para sahabat dulu, mencontohi qudwah agung itu tanpa banyak soal. Semua yang baginda cakap mesti betul. Semua yang baginda buat mesti nak ikut, dan mereka menamakannya Sunnah Nabi. Memang mereka fanatik! Maka benarlah mereka. Kerana mereka menyaksikan kebenaran yang dibawanya. Sesungguhnya Muhammad bin Abdullah (saw) itu SATU-SATUnya manusia yang berhak untuk kita taksub dengannya, sebab telah dirakamkan oleh Allah Yang Maha Agung dalam firmanNya,

“Sesungguhnya telah ada pada Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagimu, bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan hari akhirat dan dia banyak menyebut Allah.”  (Surah Al-Ahzab:ayat 21)

.

Semua ini untuk apa?

Ia adalah semata-mata kerana kita ini mestilah obsessed untuk ke syurga!
Buat apa saja dan korban apa saja. Dengan rasa rela dan bahagia. Tanpa pernah ragu. Dan untuk itu, kita mesti asyik mencari redha Allah. Ertinya, hidup kita sentiasa diwarnai oleh hal ini, fikiran kita tidak lepas darinya, kita akan mengaitkannya dengan semua benda… SEMUA BENDA! .. apakah Allah redha? apakah Allah suka?

Hatta kalau cakap pasal selipar jepun pun, kita akan kaitkan dan fikirkan tentang islam, tentang syurga. Sudah tentu kita juga akan memberikan masa, tenaga, harta, kesukaan kita, kemahiran kita, kepandaian kita, bakat kita dan segala-galanya yang kita ada untuk memahami Islam ini, untuk menjulang Ad-Deen ini, untuk ‘membeli’ KeredhaanNya.

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka..” (Surah At-Taubah : ayat 111) 

.

Apakah yang menyebabkan kita berfikir 2 kali? …sebelum bergerak ke arah kebaikan? Hal ini sangat penting kerana ia bukan sekadar soal antara hidup & mati. This is even more important because this is a matter between Heaven & Hell, our eternal end.

.

Above alllllll our interests and our obsessions, kita berdoa agar kita tidak akan pernah lupa tentang ini,  tidak akan pernah luntur minat kepada agama ini, tidak akan sekali jemu dari obsesi ini, setiap saat selagi nyawa ini masih ada. Ameen.
Salam Maal Hijrah.

.

~ mendekati islam bukanlah satu hobi,tapi satu tanggungjawab

.

ar-rumaisa
3 Muharram 1432 Hijriah
Waterford

apa yang mereka tahu?

November 9, 2011

Minggu lepas ada orang beri saya bunga. Putik-putik dan banyak belum kembang. Saya jadi seronok menjelingnya sambil buat kerja setiap hari, perasan ada putik kian terbuka kelopaknya – bukti makhluk Allah yang indah ini bernyawa, walau ia bisu tidak  berkata-kata, tidak berbunyi dan tidak bergerak.

.

Bunga-bunga kecil yang bernyawa. Hati terdetik…

Apakah yang bunga-bunga kecil ini tahu tentang kehidupan?
Dan kucing nakal di sisi saya ini, apakah sebenarnya yang ia tahu?
Seandainya mereka dapat berkata-kata, apa lah agaknya yang akan diperkatakan?
Adakah mereka dungu tidak mengerti apa-apa?

.

Sungguh Al-Quran telah membukakan rahsia itu kepada kita…

“Tidakkah engkau tahu bahawasanya Allah, SENTIASA BERTASBIH kepadaNya sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi serta burung-burung yang terbang berbaris di angkasa.
Masing-masing sedia MENGETAHUI CARA SOLAT nya kepada Allah dan memujiNya, dan Allah Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan.”
(surah an-Nur : ayat 41)

.

Burung-burung, gunung-ganang… bahkan mereka lebih faham. Mereka senantiasa…

“Sesungguhnya Kami telah menundukkan gunung-ganang turut bertasbih memuji Kami bersama-samanya, pada waktu petang dan ketika terbit matahari. Dan burung-burung turut berhimpun; tiap-tiap satunya MENGULANGI TASBIH masing-masing menurutnya.” (surah Sad : ayat 18-19)

.

Jadi mereka itu semuanya mengetahui – bunga kecil itu, kucing nakal itu, rumput itu, batu itu. Mereka itu semuanya mengerti… tentang Allah Tuhan mereka, tentang Allah rabbul ‘alamin.

Maka sebenarnya siapa yang tak faham siapa?

“Langit yang 7 dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah dan tiada suatu apapun melainkan bertasbih memujiNya; KAMU SAHAJA YANG TIDAK FAHAM TASBIH MEREKA. Sesungguhnya Dia Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.” (Surah al-Isra’ : ayat 44)

.

Oh terasa meremang bulu roma memikirkannya!

Begitulah Allah menceritakan rahsia alam dan makhluk-makhluk ciptaanNya kepada kita. Allah mengajarkan kepada kita satu cara pandang dunia, memahami bahawa semua makhluk di alam ini tanpa manusia sedari sebenarnya sedang bertemasya bersama-sama dalam tasbih mereka memuji Allah. Alam ini adalah sahabat yang mesra bagi orang-orang beriman. Ia menyambut tasbih manusia-manusia yang bersama. Bahkan ia mendoakan manusia-manusia yang soleh.

“Sesungguhnya Allah dan para malaikat, serta semua makhluk di langit dan di bumi, sampai semut dalam lubangnya dan ikan (di lautan), benar-benar bershalawat mendoakan kebaikan bagi orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.(Hadith Riwayat at-Tirmidzi)

.

Justeru..
Kalau manusia itu kufur? kalau dia itu ingkar? kalau dia itu enggan tunduk kepada Allah? kalau dia itu melakukan perkara yang mengundang kemurkaan Allah?

Pastilah..
Dia telah terbuang dari pesta temasya tasbih alam ini! Tersingkir! Disisihkan. Janggal dan peliknya dia di situ. Dikutuk dibenci oleh bumi yang sedang dihuninya, dan oleh sekalian makhluk.

.

Segalanya telah diberitakan dalam Al-Quran, diceritakan dalam Hadith Nabi.

“Segala puji bagi Allah Tuhan Sekalian Alam.” (Surah Al-fatihah :  ayat 2)

Adakah kita mengerti?

.

ar-rumaisa
Waterford

(rujukan : Muqadimah Fi Zilal Quran oleh Syed Qutb, Al-Quran)

Antara hak & Haq

November 2, 2011

Kebelakangan ini semua orang bercakap tentang hak ; hak untuk bersuara, hak untuk mendapat keadilan, hak untuk memilih, hak untuk bebas dan macam-macam hak lagi. Semua orang berfikir tentang hak, tidak kira agama, bangsa, negara, miskin atau kaya, lelaki atau perempuan, berpendidikan atau tidak dll.

.

Dalam bidang Undang-undang (Hukum), kita tahu undang-undang diadakan demi menjaga perkara ini, dengan HAKim yang tugasnya mengembalikan hak dan kebenaran. Kalau dalam bidang Etika, hak akan dikaitkan dengan tanggungjawab – orang yang mengabaikan hak orang lain dikatakan tidak beretika dan tidak  bertanggungjawab.

.

Justeru, kita melihat banyaklah perkara terjadi kerana orang menuntut hak, menuntut apa yang diyakini sebagai kebenaran. Di luar negara, kita menyaksikan Revolusi Timur Tengah (Tunisia, Mesir, Libya, Syria) serta undian kemasukan Palestine ke badan dunia UNESCO. Antara kisah terhangat dalam negara pula adalah pemansuhan ISA, kempen BERSIH, kempen HIMPUN dan yang terbaru, Seksualiti Merdeka.

.

Serabut rasanya membaca cerita-cerita tuntutan hak ini. Ada kisah yang membuat kita tersenyum dan ingin bertepuk tangan. Ada kisah yang membuat kita kesal dan malu. Yang pasti, semua orang nak kan kebenaran padanya, semua orang nak kan haknya, semua orang mengaku dialah yang benar. Hingga kadangkala kita jadi pening,
Siapa yang benar sebenarnya?
Betulkah itu hak mereka?
Bagaimana mereka menilai kebenaran sebegitu rupa?
Inikah mereka katakan hak?
Sungguh neraca itu semakin kabur…

Everybody wants to claim their rights. But are the rights claimed, Right? could it be Wrong?
Semua orang nakkan hak. Tetapi adakah hak yang dituntut itu Haq? boleh jadi ia Batil?

.

Sebagai muslim, bagaimana kita? Di mana kita berdiri? Apakah yang kita gunakan sebagai neraca untuk mengatakan Benar atau Salah?
Adakah…
yang ‘benar’ itu ialah pendapat MAJORITI? Maka pendapat minoriti itu salah?

yang ‘benar’ itu ialah apa YANG BIASA? Maka apa yang tak biasa itu salah?

yang ‘benar’ itu ialah apa YANG LOGIK? Maka apa yang tidak logik itu salah?

yang ‘benar’ itu ialah apa yang MENYENANGKAN HATI? Maka apa yang tidak menyenangkan hati itu salah?

.

“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang ada di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta.” (Surah Al-An’am : ayat 116)

.

Berhati-hatilah. Kita tidak boleh jadi mangsa keadaan. Kita tidak boleh tidak peduli. Kita tidak boleh hentam sahaja, ikut sahaja. Berdirilah di atas keimanan, keyakinan dan kefahaman.  Saya berdoa semoga neraca kita tidak kabur dalam taufan isu-isu yang melanda. Jangan keliru. Walaupun semua orang mengaku benar, semua orang mengaku itu haknya…

.

seBENARnya…

Dalam Al-Quran, Allah menyebut perkataan الحق (al-Haq) yang bererti kebenaran, yang sebenar, yang HAKiki.

” Al-Haq (kebenaran) itu datangnya DARI TUHANMU, oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang yang ragu-ragu.” (Surah Al-Baqarah : ayat 147)

Dan di antara sifat-sifat kebenaran itu adalah – ia jelas, kekal, tidak pernah berubah, tidak akan binasa; ia adalah fakta. Maka kita cuma boleh buat 1 saja kesimpulan, iaitu Allah sahajalah Yang Benar, kerana Dia sajalah yang Maha Mengetahui, Maha Bijaksana, kekal, tidak pernah berubah dan tidak binasa.

Jadi, kalau Allah Maha Benar, pastilah apa-apa yang datang dari Allah.. itulah yang benar.
Tidak mungkin Allah Yang Maha Benar, akan menurunkan kitab yang tak benar.
Tidak mungkin Allah Maha Benar, tapi janjiNya tak benar.
Tidak mungkin Allah Yang Maha Benar, akan memberitahu apa yang tak benar.
Mustahil !

.

Maka, kalau tak sama dengan apa yang Allah kata, kalau berbeza dari apa yang Allah suruh, maka salah lah! walau apapun hujahnya. Maka ia bukan hak, bukan kebenaran. Dan pasti akan ditemui kecacatan/sanggahan/ketidaksempurnaan padanya. Hanya menunggu masa. Ya, akal kita mampu berfikir dan menimbang, tetapi ia cetek dan selalu tertipu. Maka berpeganglah kepada wahyu TuhanMu..

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai..” (Surah Ali Imran : ayat 103)

.Wallahu’alam.

.

trying as best to ink what i think,
ar-rumaisa
Waterford

(rujukan : Manusia & Kebenaran oleh Syeikh Yusuf al-Qardhawi, Al-Quran)

sorakan bergema lagi

October 25, 2011

Dunia bertepuk tangan. Pelbagai reaksi dan komentar diberikan. Maka sibuklah studio-studio bilik berita, memanipulasi cerita mengikut selera, untuk kesekian kalinya. Bagi yang masih terlepas berita dunia yang sensasi ini, saya hidangkan serba sedikit untuk tatapan, untuk kita fikirkan dan belajar.

.

18 October 2011 mencatat sejarah manis bagi 1027 orang ahli keluarga kita dari Palestine. Mereka telah kembali ke pangkuan keluarga tercinta, kembali melihat cahaya matahari dan sudah tentu, kembali menyambung perjuangan. Segala puji bagi Allah, mereka telah berjaya dibebaskan setelah bertahun-tahun merengkok dan diseksa dalam tawanan Israel. Detik-detik pertemuan mujahid dan mujahidah Palestine yang tidak takut mati ini bersama keluarga mereka disiarkan di media-media, suasananya jauh lebih menyayat hati dari Jejak Kasih di TV3.

.

1027 orang pejuang Palestine tersebut dibebaskan oleh kerajaan zionis Israel sebagai tukaran tawanan dengan 1 orang Sarjan First Class tentera Zionis, bernama Gilad Shalit, yang ditawan oleh HAMAS (kerajaan Palestine) pada tahun 2006. Di sinilah media antarabangsa memutar-belitkan cerita, dan menyebarkan propaganda bahawa kononnya nilai 1 orang zionis israel = 1000 orang palestine. Tidak mungkin sama nilainya! 1 orang muslim itu jauh lebih mulia di sisi Allah Taala. Media juga menyebut-nyebut ‘keberanian’ dan ‘kehebatan’ Gilad Shalit, menemubualnya sebagai ‘pahlawan Israel’.

Hakikatnya, kerajaan zionis lah yang telah tunduk kepada tekanan hebat dan kebijaksanaan HAMAS hingga terpaksa menyetujui pertukaran tawanan yang merugikan mereka ini, 1027 dengan 1. Tahniah kepada pimpinan HAMAS, di bawah Perdana Menteri Palestine kini, Ismail Haniyya. Walau apa cara pun media menunjukkan israel berpesta sempena pembebasan Gilad Shalit dan mengejek-ngejek Palestine, kita tahu kebenarannya. Dan pembebasan pejuang-pejuang itu adalah jauh lebih berharga! Bersabarlah dengan ejekan mereka.

.

Antara yang dibebaskan adalah seorang mujahidah bernama Ahlam al-Tamimi, dilahirkan di Jordan pada tahun 1980 dalam sebuah keluarga yang berasal dari kampung al-Nabi Saleh, berdekatan Ramallah, Palestine. Beliau ditawan oleh tentera Zionis Israel pada tahun 2001 kerana bertindak menjadi seorang wartawan yang sangat aktif membongkarkan banyak kegiatan keji tentera Zionis satu-persatu kepada media. Hasilnya, kerajaan Zionis menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepadanya, termasuklah arahan untuk tidak dibebaskan dalam apa jua pun perjanjian tukaran tawanan. Jika begitulah hukuman dan arahan yang dijatuhkan, maka sudah pasti pembebasan Ahlam al-Tamimi 18 Oktober lalu adalah di atas keterpaksaan. Sesungguhnya perencanaan Allah mengatasi tipu muslihat manusia.

.

Gilad Shalit dibebaskan oleh HAMAS dalam keadaan boleh berdiri, berjalan tegak dan lurus (walaupun media memperbesarkan isu bahawa Gilad Shalit kelihatan cengkung dan kurus ketika ditemubual), sedangkan rakyat Palestine dibebaskan oleh zionis dalam keadaan pelbagai keadaan dan rupa, termasuk lumpuh, berkerusi roda dll hasil seksaan pelbagai bentuk kepada fizikal dan mental. Jika zionis dapat membebaskan 1027 orang mujahid-mujahidah Palestine, berapa sebenarnya bilangan yang ada di dalam tawanan mereka?

.

Semoga Allah memberikan kekuatan dan setinggi-tinggi pahala kepada saudara-saudara kita di Palestine yang tercinta. Kita mendoakan saudara-saudara kita yang masih ditawan akan dibebaskan segera. Segala kebaikan yang kita doakan minta untuk diri sendiri, kita doakan juga buat mereka. Doa itu senjata mukmin.

.

Namun, takkan setakat doa..?

Sudah penat rasanya melaungkan slogan boikot barangan produk Israel (boleh ke nak penat?). Aqsa Syarif juga sudah puas memberi penerangan, begitu juga dengan badan-badan yang memperjuangkan Palestine di luar negara sana. Gambar-gambar, statistik dan berita tidak cukup. Kita masih risau jerawat di muka yang mungkin tidak hilang tanpa produk Israel tersebut, atau merindukan burger sedap yang tiada gantinya itu, atau jadi bau tengik jika pakai minyak wangi jenama lain. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

مَثَلُ الْمُؤْمِنِيْنَ فِيْ تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ، إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عَضْوٌ، تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى .

“Perumpamaan orang-orang yang beriman tentang rasa cinta mereka, kasih-sayang mereka, dan kelemah-lembutan mereka bagaikan satu tubuh. Apabila salah satu anggota tubuh sakit, maka anggota tubuh lainnya merasakan sakit dengan tidak tidur dan demam.” (Hadith riwayat Muslim)

Barangkali bahang kebersamaan itu masih juga belum terasa, selagi peluru itu belum menembusi dada kita. Kalau hendak 1000 daya, Kalau tidak 1000 dalih.

Usah bimbang, di mahkamah agung Allah, kita pasti akan dibicara!
Apa yang telah aku sumbangkan untuk agama?

.

ar-rumaisa
Waterford

sejernih air

October 24, 2011

“Sister Hanim, here’s 50 euro. Please buy me that book if you can find it in Birmingham. The title is Halal & Haram in Islam by Yusuf Qardhawi. You can give it to me in our circle next week. But if we don’t see each other again, please use my money in the cause of Allah.” 

Entah mengapa, air mata terasa bergenang mendengar ucapannya. Cornelia hanya bersahaja. Selepas memberikan wang itu, senyum dan memeluk saya sebelum berpisah.  Seumur hidup saya, tidak pernah lagi apabila seseorang berkirim barang dan memberikan wang kepada saya, berkata sedemikian – kalaulah kita tidak bertemu lagi, gunakanlah duit ini ke jalan Allah.

Bagi saya, pesanannya itu luar biasa. Cermin kepada jernihnya hati, dia dan mereka yang sepertinya – saudara-saudara baru kita dalam islam. Yang saya kenali – ada Cornelia, Theresa, Morifat, Oyinda, Pikria, Natalia, Brigid dan Bara’a. Pelbagai warna kulit, warna bola mata, latar belakang, pekerjaan, negara asal dan bahasa ibunda yang berbeza-beza. Kesemuanya mengikat hati dan bertemu atas satu sebab yang tulus ikhlas, tanpa sebarang kepentingan – 1 aqidah dan 1 iman.

..

“Katakanlah kepada orang-orang kafir itu, jika mereka berhenti dari kekufurannya, nescaya akan diampunkan segala dosa mereka yang lalu…” (Surah Al-Anfaal : ayat 38)

Alhamdulillah, saya tidak henti bersyukur kerana Allah mempertemukan saya dengan mereka. Setiap minggu ketika saya duduk sebentar untuk beriman sejenak dalam majlis bersama mereka, hati saya pasti tersentuh. Mudah saja air mata saya gugur apabila memerhatikan gelagat & mendengar kata-kata mereka. Walaupun tugas saya adalah mengajarkan mereka mengaji Al-Quran, sebenarnya sayalah yang terlalu banyak belajar dari mereka, pada setiap minit yang berlalu. Kesungguhan mereka untuk mempelajari Al-Quran, merangkak-rangkak membacanya dengan loghat masing-masing sudah cukup untuk mengharukan saya. Mereka suka berfikir tentang setiap ayat, ingin memahami apakah yang sedang Allah firmankan? Apabila diterangkan tafsirnya, mendengar dengan penuh minat. Bertanya dan mengaitkannya dengan kehidupan, spontan mereka merefleksi diri.

.

Bukankah begitu para sahabat 1400 tahun dulu ketika mereka pertama kali mendengarkan wahyu?
Mendengar dengan perasaan siap sedia hendak mentaati, menanti-nanti untuk mencari jawapan kepada kekeliruan dan kekalutan, kemudian merasa ketenangan yang tidak dapat digugat lagi apabila mendengar janji, pujukan dan kepastian dari Yang Maha Berkuasa…
Itulah Al-Quran yang telah mengubah hidup mereka. Menyinari segenap sudutnya dengan cahaya.

.

“Haa Miim. Turunnya kitab ini dari Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Sebuah kitab yang diperjelaskan ayatnya satu-persatu, iaitu Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu kandungannya.” (Surah Fussilat : ayat 1-3)

Apakah kita yang dilahirkan Muslim ini, bersikap begitu dengan mukjizat pusaka dari Nabi Muhammad ini?

.

Sungguh saudara-saudara baru saya ini manusia-manusia yang kuat jiwanya. Setiap dari mereka punyai kisah hidup masing-masing. Pelbagai perkara ditempuh hanya menguatkan keimanan mereka. Sumber kekuatan mereka adalah Allah, dan ukhuwah dari para muslimah yang cukup bertuah dapat mengenali mereka. Sebahagian dari mereka sudah bertudung, sebahagian lagi belum.  Tak apa, sudah tentu tudung bukanlah bab 1 dalam dakwah kita kepada mereka. Untuk menyokong mereka dan memekarkan ukhuwah, saya hadiahkan setiap seorang dengan pin tudung, beri buku, dan ajak ke rumah untuk lebih mengenali.

.

Jikalau memeluk islam di negara orang Islam, Malaysia sudah cukup mencabar, bagaimana pula dengan di bumi Ireland ini? Namun perencanaan Allah itulah yang terbaik. Walaupun banyak dugaan, bilangan mereka selalu bertambah. 3 minggu lalu, seorang lagi wanita Irish telah memeluk islam. Saya masih menanti-nanti untuk bertemunya. Cornelia sudah pun mengajaknya ke halaqah kami. Alhamdulillah, Imam di sini pun banyak beri sokongan kepada saudara-saudara baru di sini.

.

Semoga Allah memberi kekuatan, istiqamah dan tsabat kepada kita dan mereka untuk terus berada di atas jalan ini – Jalan menuju Allah, jalan yang telah dilalui oleh para Rasul dan orang-orang soleh sebelum kita, jalan kebenaran, hingga selamat sampai ke hujungnya. Moga kita berjiran di syurga. =)

.

“Ya muqallibal qulub, tsabbit qulubana ‘ala deenik.
Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agamaMu.

.

ar-rumaisa
waterford

sementara masih hijau

October 11, 2011

“Takde plastik tau dik. Hari ni Sabtu.” ujar cashier Memory Lane, Seksyen 13, Shah Alam itu kepada saya.

Saya senyum lebar. “Wah, ni baru nih. Ke dah lama, cuma aku je yang tak tau?” detik saya dalam hati. Biasalah, bila sekali-sekala balik Malaysia, semua benda terasa baru – Iklan TV rasa baru, gerai baru, barangan produk baru, lagu baru… walhal sebenarnya dah berbulan-bulan benda tu kat situ. Jadi bahan gelak keluarga dan kawan-kawan je. Apapun, saya sangat berbesar hati dengan pengurangan pemberian beg plastik itu. A step forward! Apabila berpeluang menghadap internet, saya pun segera mencari-cari maklumat tentang perkembangan ini, dan bertemu..

.

SHAH ALAM, 7 Jan: Kempen “Hari Tanpa Beg Plastik” yang akan diadakan pada setiap hari Sabtu di seluruh Selangor akan bermula pada hujung minggu ini, 9 Jan 2010. Pengguna digalakkan membawa beg sendiri kerana beg plastik tidak akan dibekalkan kepada pengguna di kedai atau pasaraya yang mengambil bahagian dalam kempen ini. Bagi mereka yang tidak membawa beg sendiri, bayaran 20 sen akan dikenakan ke atas setiap penggunaan beg plastik untuk mengurangkan pengunaan beg plastik. Bayaran itu akan disalurkan kepada tabung kebajikan di bawah tanggungjawab sosial syarikat. Antara syarikat besar yang menyertai kempen tersebut ialah AEON Jusco, 99 Speedmart, Parkson, Guardian Pharmacy, IKEA, The Store, Econsave, Vitacare Pharmacy, 7 Eleven, Carrefour, Giant, Watsons, Sunway Pyramid, One-Utama dan SACC.

.

Januari 2010? Jadi cerita ini sudah lamalah. Hmm.. rupanya selama ini saya balik Malaysia sekejap-sekejap, saya yang tak perasan, sebab senang saja dapat plastik. Syukur alhamdulillah kali ini saya dapat merasa kesan kempen pro-alam sekitar itu. Pulang ke rumah mertua di Taiping, saya mendapati amalan yang sama turut dilaksanakan di Pulau Pinang dan Perak oleh pasaraya Tesco. Syabas! Negeri-negeri lain saya kurang pasti.

.

Berpeluang menyaksikan pembentangan Belanjawan 2012, saya menyokong penuh item ini :

Pengecualian cukai duti import dan duti eksais untuk kereta elektrik dan hybrid.

Alhamdulillah. Syabas Malaysia! Kita melihatnya sebagai satu lagi galakan untuk perkembangan ‘teknologi hijau’ dalam negara. Sebaiknya aplikasinya diperluaskan lagi kepada perusahaan lain. Bukan sekadar pengecualian cukai, bahkan beri lagi insentif dan penghargaan pada peniaga, kilang dan perusahaan yang bersama dalam agenda alam sekitar ini.

.

8 tahun bermastautin di Republic of Ireland, di antara perkara penting yang saya pelajari di sini adalah kesedaran tentang penjagaan alam. Duduk di luar negara, ayuhlah memerhati, buang yang keruh & ambil yang jernih. Ada banyak amalan baik yang dapat kita contohi dari mereka..

.

Di Ireland, setiap rumah di bandar-bandar utama disediakan 3 tong sampah :
– tong hijau utk bahan buangan kitar semula (kotak,kertas,tin),
– tong coklat untuk buangan bahan organik (sisa makanan),
– tong hitam untuk bahan yang tidak boleh dikitar semula (plastik dll).

Tong-tong itu akan dikutip oleh majlis perbandaran mengikut warna pada hari-hari tertentu. Sampah akan ditimbang dan bayaran akan dikenakan mengikut berat sampah, khasnya tong hitam, tidak seperti tong warna lain. Maka pengasingan sampah berlaku dalam setiap rumah sebagai langkah penjimatan wang. Tong sampah yang kecil-kecil di tempat-tempat awam juga banyak yang dibahagi 3 mulutnya dan di dalamnya.

8 tahun ditarbiyyah sebegini, sehinggakan saya sentiasa terasa sedikit janggal dan bersalah apabila mencampurkan semua jenis sampah dalam 1 beg plastik saja bila pulang ke Malaysia.

.

Darihal menahan pemberian beg plastik, Ireland sudah lama mengamalkannya. Plastik di pasaraya perlu dibayar. Kedai-kedai pakaian dan barangan lain pula hanya akan memberikan beg kertas. Maka majoriti rakyat di sini pergi shopping akan bawa beg sendiri, yang boleh dilipat-lipat dan digunakan berulang kali. Tidak sukar pun, tiada orang komplen, kerana kesedaran kepentingan menjaga alam itu sudah mengakar umbi.

.

Saya rasa kepentingan menjaga bumi amanah Allah ini masih belum cukup ditekankan di tanahair tercinta. Di Malaysia, suasana itu belum terbentuk. Semangat itu belum subur. Praktikalnya masih terkebelakang. Ya, saya ingat ada mempelajarinya di sekolah dulu. Maka, sakit benar hati saya tengok adik-adik pengawas kita buang sampah dalam longkang betul-betul luar pagar sekolah. Ikutkan hati, saya nak melompat keluar kereta untuk menasihatinya. Tapi kita semua tahu, hatta di kalangan orang dewasa pun, perkara paling asas dalam penjagaan alam sekitar iaitu : JANGAN BUANG SAMPAH MERATA-RATA pun belum diimani sepenuhnya. Sampah itu pula, yang wajibnya tentulah plastik, iaitu bahan yang paling sukar utk reput/dilupuskan (non-biodegradable).  Maka mungkin masih jauh untuk kita mengharapkan sambutan masyarakat Malaysia terhadap kempen kitar semula.

.

Mungkin segalanya masih dipandang enteng, remeh. Barangkali ia kerana tidak cukup kesedaran atau pendidikan, kurangnya kemudahan, lemahnya penguatkuasaan kerajaan, terdesaknya keadaan dan sebagainya. Namun, tidak dapat dinafikan, tidak lain tidak bukan, semuanya adalah terkait dengan iman dalam hati sanubari kita. Ia kembali kepada isu iman. Ukuran ingatan kita kepada Allah SWT dan ketaatan kita kepada seruan Rasulullah SAW.

.

Dari Abu Hurairah dari Rasulullah SAW, baginda bersabda, Sungguh, aku telah melihat seorang laki-laki yang sedang menikmati kenikmatan di syurga disebabkan ia menyingkirkan duri yang berada di tengah jalan, yang duri itu mengganggu kaum muslimin.” (Hadith Riwayat Bukhari).

.

“Iman itu terdiri dari tujuh puluh sekian cabang. Yang paling tinggi adalah ucapan “Laa ilaha illAllah” dan yang paling rendah adalah menyingkirkan gangguan dari jalan.” (Hadith sahih riwayat muslim dan ibnu majah)

.

Sekiranya menyingkirkan gangguan dari jalan itu adalah serendah-rendah iman, maka apakah pula darjatnya membuang sampah merata-rata mengotorkan jalanan? Tergamakkah seorang Muslim yang ingat kepada Tuhannya berbuat begitu?

.

writing the future,

ar-rumaisa
Waterford.